PUTRAJAYA – Kerajaan tidak pernah sekali melupakan misi untuk mengesan bangkai pesawat MH370 sehingga kini biarpun sudah hampir lapan tahun berlalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan kini masih menunggu sebarang petunjuk baharu yang kuat sebelum memulakan semula misi pencarian itu.
Beliau berkata, petunjuk baharu itu penting bagi menentukan lokasi yang lebih spesifik bangkai pesawat berkenaan.
“Pertimbangan (petunjuk baharu ini) akan digunakan bagi meneruskan misi mengesan pesawat berkenaan pada masa depan,” katanya menerusi rakaman video sempena memperingati tragedi pesawat MH370, hari ini.
Katanya, pihaknya sentiasa mengkaji apa sahaja bentuk bukti baru yang didedahkan bagi mengenal pasti lokasi bangkai pesawat berkenaan.
Ka Siong berkata, kerajaan tidak pernah mengambil sikap berkira dalam mengeluarkan perbelanjaan wang untuk usaha kolektif kerjasama dengan Malaysia, Australia dan China bagi menjejaki pesawat itu. – KOSMO! ONLINE