PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan kemudahan lokar di 10,662 kelas di sekolah rendah dua sesi di seluruh negara sebagai satu penyelesaian menangani isu beg berat.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, bagi fasa pertama, kemudahan lokar itu akan disediakan bagi sekolah rendah dua sesi dimana ia akan dimanfaatkan seramai 323,000 murid Tahap 1 iaitu tahun 1, tahun 2 dan tahun 3.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM37.3 juta.
“Bagi fasa dua pula, kemudahan lokar bagi murid Tahap 2 di sekolah rendah dua sesi iaitu tahun 4, tahun 5 dan tahun 6 pula akan disediakan pada tahun 2023.
“Penyediaan lokar ini adalah pendekatan baharu yang tidak pernah dilaksanakan KPM selama ini,” katanya menerusi rakaman video di Facebook hari ini.
Katanya, murid sekolah rendah satu sesi pula dibenarkan untuk menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.
Radzi berkata, penyediaan kemudahan lokar itu adalah antara tujuh pendekatan diambil KPM bagi mengatasi isu beg berat yang membelenggu murid sejak 30 tahun lalu.
Menurutnya, pendekatan lain termasuk menyusun semula jadual waktu dimana hanya tiga atau empat mata pelajaran diajar sehari selepas mengambil kira pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.
“Sekolah juga akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu dimana hanya subjek tertentu akan diajar dalam sesuatu minggu itu sekali gus mengurangkan buku teks yang di bawa,” katanya. – KOSMO! ONLINE