fbpx

Iqbal Zulkefli menangis kena kecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD IQBAL ZULKEFLI

SETIAP butiran kata yang terluncur dari bibir jejaka berusia 28 tahun itu tersusun. Orangnya naif, sopan dan tertib. Semuanya jelas terpampang depan mata, pemilik nama Ahmad Iqbal Zulkefli itu seorang yang budiman. Biarpun penat dengan jadual harian yang padat, dia masih hadir dengan senyuman.

Sedaya upaya lelaki itu ingin menampakkan dirinya sebaik sahaja bertandang ke pejabat Kosmo! di Quattro West, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Itulah Iqbal, jejaka yang tiba-tiba meledak menjadi buah bulut netizen. Bukannya tentang perkara baik, tetapi terpalit lumpur dek siri kontroversi berpanjangan.

Bermula dengan isu ‘kahwin tak jadi’ dengan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida sehinggalah percubaannya menjadi penyanyi menerusi single sulung berjudul Hujan tahun lalu, setiap perilaku pemuda kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu mengundang rasa ‘jijik’ masyarakat.

Satu persatu tohmahan netizen terpaksa ditelan sehingga akhirnya dia mengambil keputusan berhijrah sementara ke Indonesia sekitar November tahun lalu.
Kesal, terhina dan pedih akibat sering menjadi mangsa kecaman netizen, ketika itu Iqbal berasakan dirinya tidak lagi sesuai menetap di Malaysia.

BUAT masa ini, Iqbal mahu berehat daripada cerita tidak enak tentang dirinya. Dia sehabis baik cuba untuk menjadi seperti lelaki normal.

Gila harta?

Bercerita tentang isu ‘kahwin tak jadi’ dengan Vida sekali gus menjadi asbab kebencian netizen, Iqbal masih bertegas, perkara tersebut bukanlah gimik atau strategi konten pemasaran.

“Isu kahwin dengan Vida bukan satu konten. Itu adalah realiti. Saya juga pernah membawanya berjumpa dengan ibu di kampung.

“Saya pernah memberitahunya supaya melakukan yang wajib dahulu tanpa kontroversi. Sehinggalah sampai satu tahap saya difitnah dan dituduh ‘gilakan’ harta orang,” katanya.

Disoal tentang keistimewaan usahawan berusia 51 tahun itu di matanya sewaktu itu, Iqbal berkata, Vida merupakan seorang wanita yang senang untuk diajak berbual.

“Saya tidak boleh untuk menyukai seseorang yang sebaya atau lebih muda dengan saya sebab rasa janggal kalau bercakap soal masa depan,” katanya.

Tutup buku lama. Iqbal berkata semuanya kini tinggal kenangan. Dia bahkan menyekat usahawan itu di semua platform media sosial termasuk menerusi WhatsApp.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah berdendam. Saya beritahu kepadanya (Vida) bahawa saya akan ada ketika dia susah. Apa pun yang terjadi saya akan bantu.

“Cuma buat masa sekarang beri saya waktu sebab saya penat,” ujarnya.

Biarpun sering menunjukkan dirinya kebal dan kalis kecaman, Iqbal juga punya hati dan perasaan sama seperti insan normal lain.

IQBAL bakal muncul dengan single keduanya berjudul Undur Diri yang turut mendapat sentuhan sendiri. – FARIZWAN HASBULLAH

Air mata

Bahkan, dek tidak lagi mampu menanggung beban kecaman ibarat air ludahan ke mukanya, Iqbal sering mengalirkan air mata, menangisi perkara yang berlaku dalam hidupnya.

“Siapa yang tahan apabila setiap hari, bangun tidur perlu membaca komen hentaman netizen. Kebanyakannya berbaur negatif. Tipu kalau saya tidak menangis.

“Kejujuran saya disalahertikan. Sampaikan ketika saya berjalan-jalan di pusat beli-belah, orang panggil dan gelar saya dengan panggilan ‘babi’.

“Sedih, tapi saya okey sebab saya tahu diri saya. Prinsip saya tidak sama seperti orang lain,” katanya.

Dalam nada sebak, sesekali terlihat kelopak matanya bergenang. Hampir tumpah, namun ditahan dengan helaan nafas panjang.

“Sekarang, saya lebih menjadi diri sendiri. Kalau bersendirian, tanpa sedar air mata saya mengalir. Saya sendiri pun pelik sebab ingatkan saya sudah kebal.

“Rupa-rupanya saya sedar bahawa saya juga punya hati dan perasaan. Sekuat-kuat insan bernama Iqbal, perasaan sedih itu tetap ada,” jelasnya.

ADAKALANYA ketika bersendirian, Iqbal mengakui air matanya tumpah mengenangkan cacian orang yang tidak pernah lelah dilontarkan ke mukanya. 

Jatuh cinta

Tidak menoleh ke belakang walaupun sentiasa dihujani dengan kritikan. Iqbal mengorak langkah apabila terjun ke bidang lakonan atas ajakan pengarah tersohor, Erma Fatimah menerusi drama berjudul Perempuan Itu.

Bakal disiarkan menerusi TV3, Iqbal mengakui sudah mula jatuh cinta dengan dunia lakonan, walhal awalnya, dia pernah hampir berputus asa ketika hari pertama menjejakkan kaki di set penggambaran. Dia gagal memberikan persembahan yang baik.

Berbanding nyanyian, lakonan dilihat lebih mudah kerana tidak memerlukan masa panjang untuk mendapatkan mood sewaktu berlakon.

“Hari pertama penggambaran, saya berasa sangat gugup sehingga terfikir telah menyusahkan pihak produksi. Ditambah untuk mendapatkan keserasian dengan pelakon lain.

“Saya hampir berputus asa dan nampak pelakon utamanya iaitu Zul Ariffin resah. Tapi masuk hari kedua dan sehingga sekarang, proses penggambaran menjadi lebih mudah.

“Ramai terkejut dan berkata bahawa saya ada bakat berlakon. Kini lakonan sudah menjadi bidang baharu saya,” katanya.

Pernah dilabel perosak industri dek nyanyian sumbang dalam Big Stage, Iqbal sempat berpesan, kehadirannya dalam dunia seni hiburan bukan jenayah bukan juga perlu mendapatkan keizinan daripada sesiapa.

“Selagi saya boleh ke hadapan, saya akan lakukan. Saya selalu berdoa kepada Allah SWT untuk menjadi seseorang yang dikenali suatu hari nanti.

“Tapi bukan dengan cara yang tidak sepatutnya. Alhamdulillah, jalan itu menjadi cepat walaupun terselit beberapa perkara tidak enak berlaku,” tutup.

DILABELKAN perosak industri dek nyanyian sumbang dalam Big Stage, Iqbal sempat berpesan, kehadirannya dalam dunia seni hiburan bukan satu jenayah bukan juga perlu mendapatkan keizinan daripada sesiapa.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI