BALIK PULAU – Seorang tukang sapu sampah yang juga ibu tunggal sanggup mengerah keringat menjaga enam anaknya di kediamannya mereka di Teluk Kumbar di sini selepas kematian suami akibat kanser pankreas hujung Januari lalu.
Aprianti, 49, terpaksa mengorbankan wang gajinya RM500 sebulan untuk urusan persekolahan empat anaknya termasuk dua di institusi pengajian tinggi.
Akui ibu kepada empat cahaya mata perempuan dan dua lelaki masing-masing berusia 11, 13, 15, 17, 19 dan 21 tahun itu, dia kini menggalas tanggungjawab berat demi merealisasikan masa depan dan kebahagiaan anak-anaknya.
“Kini, sayalah ibu dan sayalah juga bapa. Memang tidak dinafikan, kehilangan suami ibarat lumpuh sebahagian badan. Sebelum ini, kekuatan saya ialah suami. Namun hari ini, saya perlu bangkit dan cekal demi membesarkan anak-anak.
“Gaji bulanan sebagai tukang sapu flat cukup untuk perbelanjaan anak-anak termasuk makan dan minum serta wang poket ke sekolah. Beli mana-mana yang perlu atau penting sahaja.
“Arwah baru meninggalkan kami anak beranak 21 Januari lalu selepas bertarung dengan kanser pankreas tahap tiga sejak setahun lalu. Sebelum ini, dialah yang menanggung keluarga sepenuhnya,” katanya sebak ketika ditemui di kediaman mereka di Flat Kumbar Indah di sini.
Terdahulu, kediaman Aprianti dikunjungi sukarelawan Nek Norbi dan rakannya.
Aprianti memberitahu, dia kini dalam proses mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) untuk bantuan persekolahan anak-anaknya tahun ini.
“Saya amat berharap dengan bantuan diterima daripada agensi berkenaan memandangkan terpaksa menjelaskan hutang bank bagi pembelian rumah dan kereta arwah serta urusan persekolahan anak-anak 21 Mac ini,” jelasnya.
Bagi mereka yang ingin membantu, boleh menghubungi Aprianti di talian 017-593 4082 atau bantuan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0720041100004883 (Aprianti).