LONDON – Meskipun perlumbaan Formula Satu (F1) belum lagi bermula, namun ‘perang’ psikologi mula meletus apabila juara dunia, Lewis Hamilton dilihat masih enggan melupakan insiden yang berlaku musim lalu hingga meranapkan impiannya untuk menjadi juara dunia.
Pelumba Britain tersebut mengakui, dia tidak menyukai cara Max Verstappen ketika memburu kemenangan di litar dan menegaskan pemandu Red Bull itu tidak layak untuk mendapat pujian.
Hamilton mempersoalkan perkara tersebut dalam dokumentari musim baharu Drive to Survive mengenai gaya agresif Verstappen pada perlumbaan F1 2021.
“Saya rasa Verstappen sangat agresif dan dia akan mengheret perlumbaan tersebut pada had maksimum. Saya telah berlumba dengan ramai pemandu sepanjang karier saya.
“Saya akui selalunya ada pembuli tetapi itu bukan cara saya bersaing dalam perlumbaan F1. Saya cuba untuk menewaskan mereka di dalam litar dengan cara yang betul,” katanya.
Dalam episod tersebut, Hamilton turut mendakwa bahawa perlumbaan terakhir di Grand Prix (GP) Abu Dhabi berlaku ‘komplot’ supaya Verstappen mampu meraih gelaran dunia 2021.
Akibat insiden tersebut, juara dunia tujuh kali F1 tersebut dikatakan sangat kecewa dan berputus asa sejak kekalahan tersebut, malah tidak menghadiri majlis gala Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Bagaimanapun, Hamilton, 36, menafikan segala dakwaan bahawa dia membuat keputusan untuk menamatkan kariernya berikutan kekecewaan tersebut. – AGENSI