GEORGE TOWN – Pengumpan Penang Black Panthers, Muhamad Zulhusni Basri, 21, atau lebih dikenali sebagai Mat Oni tidak menyangka kejadian sebatang gigi kapaknya yang tersangkut pada jaring di set kedua perlawanan menentang Bomba Fighters malam tadi tular di media sosial hari ini.
Ini berikutan video berdurasi 55 saat yang dikongsi menerusi laman sosial Facebook SepakTakraw League itu mendapat lebih 236,000 tontonan dan 1,800 perkongsian sejak dimuat naik pengemudinya pada pukul 11.35 malam semalam.
Rata-rata netizen terdiri penyokong dan peminat setia kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 itu telah meninggalkan kira-kira 8,300 emoji ketawa dan tanda suka sekali gus menyifatkan sebagai penutup perlawanan paling lucu.
Lebih menggelikan hati apabila pemain import Black Panthers, Aakasit Naphon kelihatan tidak dapat menahan ketawa semasa perlawanan di set kedua masih berbaki lapan mata meninggalkan jauh Bomba Fighters 13-2.
Mat Oni ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini berkata, dia tidak menyangka aksi tersangkut gigi pada jaring sempat dirakam jurukamera sekali gus disaksikan penonton secara langsung.
“Memang tak sangka hendak berlaku sebegitu. Sebelum ini memang saya lebih suka bermain dan psiko pihak lawan depan jaring. Saya pun tergelak sendiri sebaik kejadian itu berlaku.
“Tak pernah lagi orang buat macam tu sampai nak tersangkut gigi depan jaring. Ini pengalaman manis untuk saya sepanjang tiga tahun beraksi dalam STL sejak 2019 apatah lagi pada perlawanan akhir pasukan sebelum Liga Premier menutup tirainya hari ini.
“Angkara kejadian itu, sebatang gigi kapak saya mula goyang. Mungkin tertarik kuat sebaik ia tersangkut,” ujarnya video tular itu dianggapkan sebagai pembakar semangat untuknya terus beraksi cemerlang dalam sukan sepak takraw. – KOSMO! ONLINE