KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas sebanyak 8,448 kilogram minyak masak bersubsidi dipercayai akan diseludup ke negara jiran dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Aur Duri di sini pagi tadi.
Operasi yang merampas minyak masak bernilai RM21,120 itu dijalankan oleh KPDNHEP Kelantan bersama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dalam serbuan pada pukul 5.20 pagi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, selepas menjalankan risikan mengenai aktiviti penyeludupan, pihaknya terus menyerbu rumah tersebut.
Menurutnya, semasa menjalankan intipan, anggota penguat kuasa melihat empat lelaki sedang memunggah minyak masak ke dalam sebuah rumah.
“Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, kesemua suspek terus melarikan diri ke dalam semak berhampiran rumah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu, kita menemui sebanyak 8,448 kilogram minyak masak peket bersubsidi dianggarkan bernilai RM21,120,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azanizam memberitahu, pihaknya turut menyita tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori tiga tan, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dan sebuah kereta Proton Waja yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, minyak masak tersebut dipercayai dibawa dari Pahang sebelum ditempatkan sementara di sebuah rumah berhampiran Sungai Kelantan.
“Sindiket penyeludupan dikesan menggunakan modus operandi membawa minyak masak paket dari luar Kelantan dan menjadikan rumah yang jauh dari penduduk kampung sebagai transit selain beroperasi pada awal pagi untuk mengelak dikesan penguat kuasa.
“Minyak masak ini kemudian dibawa ke sempadan negara sebelum diseludup ke Thailand kerana mendapat permintaan tinggi. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE