Peluang menjana pendapatan di media sosial melalui ulasan produk dimanfaat sepenuhnya gadis tinggi lampai, Farah Yasmin Abdul Rauf.
Kejayaannya mencipta kandungan media sosial yang menarik dan konsisten serta disukai pelanggan membuatkan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Sunway itu mendapat pulangan lumayan sekali gus mampu menampung kehidupannya di ibu kota.
Menariknya, perkongsian dibuat Farah Yasmin mengenai fesyen mendapat perhatian ramai sehingga dirinya digelar ‘katalog bergerak’ oleh pengikut di media sosial.
Kosmo! Ahad: Permulaan karier Farah Yasmin?
Farah Yasmin: Semuanya bermula enam tahun lalu selepas video Dubsmash yang dimuat naik menjadi viral.
Dari situ, pengikut bertambah sehingga menarik perhatian jenama-jenama besar tempatan yang mahu saya melakukan ulasan produk mereka. Alhamdulillah, kerjaya ini mampu menampung kehidupan saya sehingga kini.
Persediaan dilakukan sebelum satu kandungan dicipta?
Baju dan aksesori tambahan, kerana tidak semua disediakan pelanggan. Selain itu saya akan pastikan kulit muka lebih bersih bagi memudahkan tugas jurusolek selain memastikan solekan tahan lama.
Ambil semua job atau memilih?
Kita bertanggungjawab dalam setiap ulasan, penting untuk mencari yang terbaik. Saya akan kaji dulu kerana tidak mahu pengikut membeli atau memakai produk yang memudaratkan.
Mengapa dipanggil ‘katalog bergerak’?
Pengikut lebih menyukai gaya saya berpakaian yang disifatkan berani, mereka suka kalau saya membuat ulasan fesyen dan mereka akan ikut gaya itu.
Malah ada yang direct message saya bertanya tentang pakaian dan aksesori yang sesuai digayakan mereka.
Apa yang pengikut tidak tahu mengenai farah?
Pelayar tegar TikTok bagi mencari ilham membuat kandungan yang menarik. Saya perlu muat naik video atau gambar setiap hari agar kekal relevan.
Perkara yang ingin dicapai tahun ini?
Lebih banyak masa dengan keluarga dan dapat menjalin kerjasama dengan jenama-jenama besar. Selain itu berjaya menceburi bidang penyiaran sebagai kerjaya masa depan.
Lelaki pilihan Farah?
Hormat orang dan tahu asas agama. Pendapatan yang stabil, emosi dan cara berfikir selain bijak dalam mengurus masa dan kewangan.
Antara jenama yang memilih khidmat Farah?
Zalora, jenama terbesar sejak tahun lepas. Setiap bulan saya perlu pilih fesyen di laman web mereka dan kandungan dihasilkan harus mengikut tema diberikan Zalora.