WASHINGTON – Pengasas SpaceX, Elon Musk enggan tunduk kepada gesaan pegawai beberapa negara yang memintanya agar menyekat sumber-sumber laman berita Rusia daripada rangkaian internet milik Starlink, lapor akhbar Daily Star semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX itu dalam kenyataannya di Twitter berkata, beliau tidak akan menyekat akses sumber berita dari Rusia, melainkan diacu dengan senjata api.
“Starlink telah diminta oleh beberapa negara (bukan Ukraine) untuk menyekat sumber berita dari Rusia.
“Kami tidak akan melakukannya kecuali diacu dengan senjata api,” demikian menurut ciapan Musk di Twitter.
Kenyataan itu dikeluarkan kurang 24 jam selepas bilionair itu berkongsikan sokongannya terhadap Ukraine dan rakyat Rusia yang menentang konflik peperangan tersebut.
“Semoga kekal tabah, Ukraine. Saya juga bersimpati kepada individu-individu hebat di Rusia yang enggan konflik ini berlaku,” katanya. – AGENSI