KLANG – Seorang lelaki dicekup apabila melanggar motosikal anggota polis ketika hendak diperiksa di sekitar Bandar Baru Klang di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu berlaku selepas suspek berusia lingkungan 30-an dilihat mencurigakan di sekitar kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, perkara itu disedari Unit Rondaan Cegah Jenayah yang melakukan rondaan dan ternampak dua lelaki menaiki dua motosikal Kriss berwarna hitam.
Katanya, menyedari kecurigaan itu, polis kemudian mahu menahan mereka untuk pemeriksaan lanjut.
“Namun, suspek bertindak agresif dan melanggar hadapan motosikal anggota polis dan kenderaan orang awam yang diparkir di tepi jalan.
“Seorang daripada suspek berjaya ditahan manakala rakannya melarikan diri dengan motosikal ditunggangnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas Vijaya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan antaranya kerana menghalang tugas penjawat awam.
Tambah beliau, pihaknya masih mengesan seorang lagi suspek berusia lingkungan 30-an yang meloloskan diri bagi membantu siasatan.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannnya di mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, tular gambar di media sosial memaparkan barangan seperti peralatan pecah rumah yang ditemukan dalam kejadian itu. -KOSMO!ONLINE