fbpx

‘Bayaran nak tinggi, tapi disiplin ke laut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAUZIAH NAWI

SENI itu perkara terpaling halus di dunia dan kalau dikerjakan tanpa rasa tanggungjawab, maka tercemarlah hasilnya.

Buat dramatis berpengalaman, Fauziah Nawi atau nama sebenarnya, Fauziah Fatimah Nawi, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk bersifat lantang menerusi media sosial menegur mana-mana pihak yang dirasakan tidak serius menumpahkan komitmen dalam dunia lakonan.

Enggan mendedahkan secara spesifik siapa gerangan pelakon yang dimaksudkan dalam Facebook rasminya baru-baru ini, pemenang trofi Pelakon Pembantu Wanita

Terbaik menerusi filem Sayang Salmah Festival Filem Malaysia ke-12 itu bagaimanapun berasa terpanggil untuk meneruskan kemaraan bicara kepada Pose.

Terdahulu, Fauziah, 69, menyifatkan seorang individu yang difahamkan merupakan seorang pelakon sebagai tidak berhati perut kerana menyebabkan jadual penggambaran drama melibatkan dirinya tergendala.

Menerusi panggilan telefon santai, beliau enggan membuka aib mana-mana pihak, namun berharap individu terlibat insiden terbabit segera terbangun daripada lena mimpi dan terus memperbaiki diri demi kemajuan diri sendiri dan industri seni lakonan tanah air.

Fauziah berharap individu yang membuat ‘onar’ di set penggambaran agar melihat refleksi diri dan mula menjadikan industri seni sebagai lubuk rezeki yang serius.

POSE: Barangkali ada lanjutan tentang apa yang ibu dedahkan dalam Facebook baru-baru ini?

FAUZIAH NAWI: Saya tidak mahu membuka aib individu terbabit. Kalau dia baca artikel ini dan merasakan apa yang saya dedahkan adalah berkenaan tentang dia, itu lebih baik.

Saya tegur dalam Facebook bukan suka-suka tetapi saya tak mahu ada ‘penyakit’ begini dalam industri. Kalau dia buat masalah dan hanya libatkan diri, itu saya tak kisah. Ini tidak, calltime pukul 10 pagi, masuk set pukul 6 petang. Perangai jenis apa begitu? Saya sebenarnya malas nak bising atau marah tapi sendiri mahu ingatlah.

Tentang apa yang ibu dedahkan ‘kontrak habis lapan hari’ dan kemudian sibuk balik awal, apa yang boleh anda simpulkan?
Saya geram dan sangat kecewa. Apa yang dia buat dah ganggu emosi pengarah, penerbit dan pelakon lain yang terlibat dalam projek yang kami sedang jalankan.
Kenapa sibuk jadi pelakon kalau waktu pun tak pandai urus dan melibatkan orang lain akibat keculasan sendiri?

Macam saya cakap dalam Facebook, tak usah jadi pelakon dan sila duduk rumah dan jangan menyusahkan hidup dan kerja orang lain.
Seperkara lagi, sudahlah sibuk ‘demand’ harga tinggi melambung tapi kualiti kerja? Disiplin semua ke laut.

Barangkali ibu mahu mendedahkan siapa gerangan individu yang dimaksudkan?
Saya rasa tak perlu. Bukan bermakna saya takut nak dedahkan tapi sebagai pelakon lama, menjadi tugas saya menegur dengan cara saya sendiri.

Orang yang buat hal itu terima atau tidak, terpulang kepadanya. Facebook saya ‘open’ dan sesiapa sahaja boleh baca apa yang saya luahkan dan kalau dia rasa tulisan ada yang menyentuh dirinya, cermin diri dan betulkanlah apa yang silap.
Industri seni kita bukanlah besar mana, pusing-pusing di situ juga dan kita akan sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

Apa pesanan daripada ibu sebagai dramatis berpengalaman buat indivdu lain yang ingin menjadi seorang anak seni?
Buat kerja dengan rasa bangga dan tanggungjawab. Hormat waktu orang lain, insya-Allah masa depan cerah menanti kalian.

Kalau mahu kekal lama dalam industri dan dihormati, lunaskan peranan sebagai anak seni dengan sebaik mungkin.

Jaga calltime, jaga disiplin dan hormatlah situasi dan orang sekeliling. Macam saya cakap tadi, industri ini tak besar mana pun. Pusing kiri depan belakang, akan jumpa orang yang sama juga. Yang membezakan adalah kualiti dan disiplin kerja.

PADA usia 69 tahun, Fauziah membuktikan bahawa menuntut ilmu itu tidak mengira usia apabila menerima diploma dalam jurusan Pengarahan Filem dan Koordinasi daripada Meateach Creative Academy.

Baiklah, baru-baru ini ibu menerima diploma daripada Meateach Creative Academy, mungkin boleh perincikan sedikit tentang perkara tersebut?
Selepas tiga tahun belajar, saya akhirnya menerima diploma dalam jurusan Pengarahan Filem dan Koordinasi.

Dipendekkan cerita, saya tidak pernah melanjutkan pelajaran sebelum ini. Saya terus bekerja selepas tamat persekolahan tingkatan lima. Bayangkan bagaimana situasi apabila pada usia 60-an masih sambung belajar.

Masa mula-mula sambung belajar (diploma) dengan usia dah lanjut, saya hampir berputus asa sebab perlu menyiapkan banyak kertas kerja dan pembentangan. Namun, atas nasihat anak dan adik-beradik yang menyedari betapa penting kelayakan akademik, saya teruskan juga perjuangan ini.
Alhamdulillah, saya berjaya tamatkan pengajian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI