PONTIAN – Sebanyak 20 majikan menawarkan 5,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai industri di seluruh negara pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Negeri Johor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan karnival tersebut yang merupakan kesinambungan inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dilancarkan beliau di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 19 Februari lalu.
Karnival kerjaya itu sebagai usaha Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menawarkan peluang pekerjaan secara langsung kepada orang ramai khususnya di daerah Pontian dan kawasan sekitarnya.
Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Jamin Kerja – Insentif Penggajian (JKIP),iaitu satu daripada tiga komponen di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang diumumkan dalam Bajet 2022.
Dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion, JKIP bermatlamat merangsang majikan mencipta pekerjaan dan membuat pengambilan pekerja baharu dengan sasaran 300,000 pekerja sepanjang tahun 2022.
Yang turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz.
Karnival tersebut menyediakan pelbagai perkhidmatan pekerjaan kepada pencari kerja seperti bantuan pendaftaraan Portal Pekerjaan Negara – MYFutureJobs, sesi kaunseling kerjaya, bantuan penyediaan resume dan sesi temuduga terbuka bersama majikan.
Karnival diadakan sepenuhnya secara fizikal itu berlangsung di tiga lokasi bermula 3 Mac di Johor Bahru, 5 Mac di Mersing dan 6 Mac di Pontian.
Antara jawatan yang ditawarkan adalah jurutera, juruteknik, juruukur bahan, tukang masak, chef, kru restoran, pembantu klinik, pengurus akaun dan pemasaran, kerani serta perantis.
Majikan yang menawarkan peluang-peluang pekerjaan pula terdiri daripada sektor awam termasuklah agensi kerajaan seperti Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana), Perkeso, HRD Corp serta syarikat swasta.-KOSMO! ONLINE