KUALA LUMPUR – Seramai 500 murid sekolah rendah dan menengah di Sabak Bernam menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) sempena pembukaan semula sesi persekolahan pada bulan Mac akan datang.
Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata, sumbangan bernilai RM50,000 itu juga diharapkan dapat membantu mereka terutamanya yang berada dalam kalangan keluarga B40.
“Bantuan ini bagi meringankan urusan kewangan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan bagi pembelian set baju, kasut dan stoking atau beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing.
“Bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 bagi persiapan persekolahan diharapkan akan dapat membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal untuk anak-anak dalam memulakan sesi akademik persekolahan 2022/2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu katanya, cakna dengan situasi masyarakat yang terkesan akibat gelombang Covid-19 yang melanda sejak dua tahun ini dan melihat kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Bantuan yang disalurkan kepada mereka yang layak ini sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu serta sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu mereka yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Sehingga kini, seramai 39,397 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM5.12 juta sejak dari tahun 2018.– KOSMO! ONLINE