SHAH ALAM – Seramai 332 usahawan jutawan di bawah bimbingan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) bakal hadir ke Inner Circle Meeting (ICM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula esok hingga 10 Mac ini.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd. berkata, program tersebut diadakan tiga kali setahun buat usahawan jutawan yang dibimbing secara dekat dalam mentoring Titanium.
“Ahli Titanium ada sesi khas bersama Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman sepanjang ICM.
“Apa istimewanya kali ini, kami turut mengadakan Titanium Gala Award bagi mengiktiraf pencapaian dan transformasi luar biasa anak didik RichWorks pada 2021,” katanya.
Ahli Titanium RichWorks merupakan pemilik bisnes dengan jualan lebih RM1 juta setahun dan berada pada tahap expansion untuk ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Radz, kebanyakan mereka merupakan perusahaan kecil dan sederhana yang menjana banyak peluang pekerjaan melalui bisnes dijalankan.
“Meskipun tahun lalu kita masih berdepan pandemik dan prosedur operasi standard ketat, kebanyakan usahawan jutawan ini dapat mengatasinya bersama RichWorks dan bimbingan Dr. Azizan,” jelasnya.