BESUT – Seorang pekerja syarikat penapisan air sebak bercampur marah menyaksikan hampir 20 ekor kucing mati disyaki diracun di Pantai Keluang di sini hari ini.
Roshanafi Osman, 38, berkata, dia ternampak kesemua kucing terbabit mati bergelimpangan di kawasan pantai itu pada pukul 9.30 pagi.
Sebelum itu, dia yang menetap di Alor Lintang berhampiran bersama isteri bersiar-siar di pesisir pantai itu selepas selesai sarapan di sebuah gerai berhampiran.
“Kami terkejut melihat kucing-kucing itu termasuk tujuh ekor yang masih kecil mati bergelimpangan di pantai tersebut.
“Saya yang sedih telah mengutip semua bangkai kucing terbabit dengan bantuan isteri dan beberapa rakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Roshanafi berkata, sebahagian kucing mati itu merupakan haiwan jalanan yang menjadi penyeri pantai berkenaan sekian lama.
Tambahnya, walaupun tidak mengesan sebarang bekas racun di lokasi itu, dia tetap mengesyaki kematian 20 ekor kucing ini disebabkan perbuatan khianat.
“Salah seorang rakan saya yang sering memberi makan kucing-kucing itu memberitahu sebelum ini kesemua dalam keadaan sihat,” katanya. – KOSMO! ONLINE