fbpx

Zelenskyy kutuk NATO pengecut, enggan wujudkan zon larangan terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZELENSKYY meyampaikan ucapan melalui video di Kiev semalam. - AFP

KIEV – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengecam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam kerana menolak untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara negaranya sedangkan perikatan tersebut mengetahui serangan Rusia akan lebih sengit.

Terdahulu semalam, NATO menolak permintaan Ukraine itu yang bertujuan menyekat pengeboman oleh Rusia, namun NATO memberi amaran kepada Presiden Vladimir Putin bahawa sekatan baharu akan dilaksanakan sekiranya beliau tidak menghentikan peperangan.

“NATO sengaja memutuskan untuk tidak menutup ruang udara Ukraine sedangkan ia mengetahui serangan baharu dan korban baharu tidak dapat dielakkan.

“Kami percaya bahawa negara-negara NATO sendiri tidak mahu menutup ruang udara Ukraine kerana tindakan itu menjadi provokasi untuk Rusia memerangi NATO,” kata Zelenskyy dalam satu kenyataan video.

Ketua NATO, Jens Stoltenberg telah berkata, perikatan tentera itu tidak akan campur tangan dalam konflik Ukraine kerana bimbang konfrontasi secara langsung dengan Moscow akan menyebabkan perang menjadi lebih meluas.

“Satu-satunya cara untuk menguatkuasakan zon larangan terbang adalah dengan menghantar jet-jet pejuang NATO ke ruang udara Ukraine dan menembak pesawat Rusia.

“Sekiranya kami berbuat demikian, perang skala penuh akan tercetus di Eropah yang akan melibatkan lebih banyak negara dan menyebabkan lebih banyak penderitaan kepada manusia,” katanya.

Bagaimanapun, Zelenskyy bertegas bahawa perhimpunan NATO mengenai  Ukraine adalah lemah dan mengelirukan .

“Semua orang yang mati mulai hari ini (semalam, mati disebabkan oleh kamu (NATO). Mereka mati disebabkan oleh kelemahan kamu.

“Hari ini (semalam) kepimpinan NATO memberi lampu hijau untuk pengeboman seterusnya ke atas bandar-bandar dan kampung-kampung di Ukraine kerana enggan melaksanakan zon larangan terbang,” tegasnya. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI