fbpx

Trio Penyu sedia rebahkan Tok Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHERMAN (kiri) dan Tchetche bersama Faisal bakal menjadi senjata paling tajam TFC menjelang aksi Liga Super menentang Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

TRIO serangan Terengganu FC (TFC) iaitu Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Faisal Abdul Halim bakal dipertaruhkan skuad Penyu untuk merobek pertahanan Sri Pahang pada aksi pembuka tirai Liga Super malam ini.

Pengendali TFC, Mohd. Nafuzi Zain berkata, beliau percaya ke­serasian Tchetche dan Sherman sewaktu mewakili Kedah bakal menjadi senjata paling tajam bagi jentera serangan skuadnya.

“Tchetche yang pernah ber­aksi bersama TFC sebelum menyertai Kedah juga sudah memahami corak permainan kami.

“Saya harap gandingan penye­rang nanti dapat mempamerkan taring sebenar bagi merobek gawang Sri Pahang,” katanya dihubungi Kosmo! semalam.

Mohd. Nafuzi juga memba­yang­kan trio serangan skuad Sang Penyu tersebut akan diperkuat jentera tengah ampuh yang dikemudi Habib Haroon, Manuel Ott dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Begitupun, ketua jurulatih yang sedang meningkat naik itu mengakui bukan tugas mudah untuk mengatasi Tok Gajah di gelanggang keramat mereka iaitu Stadium Darul Makmur, Kuantan.

“Berdasarkan aksi pramusim sebelum ini, saya akui Sri Pahang memiliki corak permainan tersusun biar pun ketika itu skuad mereka masih belum lengkap.

“Saya menjangkakan skuad bimbingan Christophe Game itu mampu menjadi antara pencabar kejuaraan Liga Super musim ini,” katanya.

Begitu pun, Mohd. Nafuzi yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk mempamerkan prestasi terbaik pada aksi sulung Liga Super berkenaan.

Katanya, TFC amat mendambakan kemenangan bagi membawa pulang tiga mata penting bagi menyuntik moral pasukan.

“Tiga mata penting sebagai momentum awal mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

“Saya akui perlawanan kompetitif sulung bagi setiap musim baharu sentiasa sukar tetapi pemain-pemain saya sudah bersedia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI