KUANTAN – Kegiatan tiga adik beradik yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan rokok seludup membawa padah apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kosong yang dijadikan stor simpanan rokok di Jalan Tanjung Lumpur di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2.40 petang itu polis berjaya merampas 1,119 katon rokok pelbagai jenama bernilai kira-kira RM80,000.
“Dalam serbuan itu polis menemukan 25 kotak warna coklat dan empat plastik warna hijau dan satu plastik warna putih yang mengandungi 1,119 karton rokok dipercayai diseludup.
“Kesemua rokok berkenaan dirampas dan tiga lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,”katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Mohd Zahari kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan kes itu dirujuk kepada pihak kastam bagi menentukan nilai taksiran cukai rokok tersebut.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati suspek memperolehi bekalan rokok berkenaan secara pembelian dalam talian dalam kumpulan WhatsApp ‘Rokok Seludup’.
“Hasil soal siasat awal suspek pertama mengaku menjalankan perniagaan kedai runcit dan menjadikan bekalan rokok seludup sebagai bekalan untuk perniagaan kedai runcit miliknya.
“Suspek kedua dan ketiga yang merupakan adik beradik kepada suspek pertama pula membantu dalam kegiatan penerimaan rokok seludup daripada pembekal,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE