fbpx

Sindiran mahal Pijak Zizi Kirana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Zizi Kirana hadir dengan single baharu berjudul Pijak yang kaya dengan mesej bertulangkan realiti masyarakat kita.

RAMAI dalam kalangan penyanyi tanah air kini sudah cukup yakin dan selesa dengan genre muzik ‘anutan’ mereka. Antara nama bertuah dan berjalan atas landasan tepat tersebut termasuklah penyanyi dengan nama pentas, Zizi Kirana.

Selepas Eh, pemilik nama sebenar, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil itu kini muncul dengan single baharu berjudul Pijak dan karya berkenaan tidak langsung mengecewakan dan signifikan terhadap karier nyanyiannya dan realiti masyarakat tempatan.

Pertama sekali, mesej yang ingin disampaikan Zizi melalui Pijak sangat jelas iaitu memberi gambaran realiti apa yang sedang berlaku dalam masyarakat.

‘Banyak beruk makin teruk dan bila kepuk naik gemuk’. Nukilan lirik berkenaan yang dipetik daripada lirik Pijak sangat berani dan Zizi agresif berkarya tanpa waspada demi seni.

Zizi berani

Itulah yang sepatutnya berlaku. Seni terutama muzik sepatutnya menjadi satu platform memberi pendidikan dan kesedaran kepada umum.

Buat penulis yang sangat berpaut pada dahan apresiasi muzik, Pijak mempunyai kualiti yang jarang-jarang ada dalam produk tempatan.

Muzik yang merdeka adalah muzik yang bebas melaungkan apa sahaja kebenaran yang perlu disedarkan daripada mimpi. Kebenaran yang sakit untuk ditelan, namun itulah yang berlaku dan dibawa dalam Pijak.

Zizi membuktikan bahawa muzik tidak terhad tentang kasmaran, cinta dan perihal sebegitu yang menjadi amalan kebanyakan orang seni kita.Syabas dan terima kasih Zizi Kirana.

Keduanya, menyentuh tentang komposisi muzik, Pijak boleh disifatkan sebagai sebuah antem pop rap yang cukup baik.

Identiti

Antara perkara paling mahal adalah ‘instrumen’ vokal Zizi yang dipadankan cemerlang dalam melodi tepat.

Kalau kalian tanya siapa penyanyi rap wanita tempatan yang mempunyai kualiti tersendiri dan layak namanya didendangkan, jawapannya adalah Zizi Kirana.
Zizi tahu benar apa yang ingin dikerjakan dalam bidang seni muzik.

Sedari zaman Akademi Fantasia, zaman Fabulous Cats dan sekarang sudah menjawat peranan sebagai isteri, Zizi melalui proses panjang yang akhirnya mematangkan dirinya sebagai seorang penghibur. Dia menjadi cakna tentang identiti muzik.

Secara peribadi, Pijak seperti sudah beroleh jalan mudah untuk ke anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu. Kalau lagu ini tidak layak atau lolos, adalah satu kerugian buat industri.

Karya seperti Pijak perlu diberikan ruang untuk bergerak ke hadapan dan berlari-lari di taman ‘arus perdana’ tanpa sebarang kekangan demi menutup realiti masyarakat.

Liriknya bercakap tentang ramai orang memiliki sifir atau formula hidup yang ‘holier-than-thou’. Ramai orang punya kuasa yang makan seguni emas tapi tak kenyang-kenyang. Ada yang hidup selesa dengan memijak kepala orang lain sampai lenyek. Tidak terkecuali, ada yang rela dipijak kerana merasakan itu sahaja pilihan yang ada.

Selain nukilan lirik yang padu, muzik video Pijak yang sudah boleh ditonton menerusi YouTube juga terkandung kreativiti serta mesej tersendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI