fbpx

Sejuta pelarian tinggalkan Ukraine pada minggu pertama perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelarian Ukraine tiba di stesen kereta api utama Berlin di sempadan Berlin, Jerman pada 2 Mac 2022. – AFP

GENEVA – Seramai sejuta pelarian meninggalkan Ukraine seminggu sejak tentera Rusia menyerang Ukraine, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  kelmarin, manakala  berjuta-juta lagi pelarian  dijangka melarikan diri melainkan perang segera dihentikan.

Pemimpin-pemimpin PBB juga merayu supaya semua pelarian yang melarikan diri itu diberi layanan yang saksama susulan laporan bahawa warga Afrika dan Asia berdepan diskriminasi di sempadan.

“Dalam masa seminggu kita menyaksikan penghijrahan keluar sejuta pelarian dari Ukraine  ke negara-negara jiran.

“Melainkan konflik ini tamat segera, berjuta-juta lagi pelarian akan terpaksa meninggalkan Ukraine,” kata ketua agensi  pelarian PBB, Filippo Grandi dalam satu kenyataan di Twitter.

Menurut data agensi pelarian PBB (UNHCR), seramai 1,045,459 orang meninggalkan Ukraine sejak Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohan  berskala penuh pada 24 Februari lalu.

Lebih separuh pelarian yang keluar dari Ukraine itu atau hampir  548,000 orang menyeberang masuk ke Poland, kata UNHCR.

Pengawal sempadan Poland menyatakan, lebih 600,000 orang telah melintasi sempadan dengan kelmarin sahaja, seramai 56,400 pelarian menyeberang masuk ke Poland.

Selain Poland,  Hungary, Moldova, Slovakia dan Romania turut menyambut baik berpuluh-puluh ribu pelarian perang itu. Ramai lagi rakyat Ukraine yang menjadi pelarian di negara sendiri.

Dalam pada itu, ketua hak asasi manusia PBB,  Michelle Bachelet berkata, lebih sejuta pelarian itu melakukan perjalanan ke sempadan dengan berjalan kaki atau menaiki basikal selama berhari-hari dalam cuaca sejuk beku.

Bagaimanapun, beliau bimbang berhubung warga asing yang menuju ke sempadan berdepan diskriminasi oleh pengawal-pengawal sempadan.

“Terdapat bukti diskriminasi dilakukan terhadap warganegara Afrika dan Asia semasa semasa mereka lari menyelamatkan diri,” kata Bachelet. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI