MOSCOW – Presiden Vladimir Putin meluluskan rang undang-undang menghalang liputan media mengenai perang di Ukraine, manakala pengawal selia media Rusia menyekat akses terhadap Facebook, lapor United Press International (UPI) semalam.
Pihak berkuasa kawal selia media, Roskomnadzor berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa Facebook akan disekat selepas pihaknya mengesan 26 kes sejak Oktober 2020 di mana platform media sosial itu mendiskriminasi media Rusia dan menyekat sumber maklumat dari Moscow.
Facebook katanya, melanggar undang-undang kerana menyekat akses kepada media Rusia seperti saluran TV Zvezda, agensi berita RIA Novosti, Sputnik, Russia Today dan laman Lenta.ru serta Gazeta.ru.
Facebook enggan mematuhi permintaan Rusia untuk menghentikan pelabelan dan melakukan semakan fakta ke atas berita yang dikeluarkan oleh media kerajaan Kremlin.
Facebook dan syarikat induk Instagram, Meta berkata semalam bahawa kedua-duanya telah menyekat laman berita Russia Today dan Sputnik seperti yang dilakukan sebelum ini oleh Kesatuan Eropah (EU).
Presiden hal ehwal global Meta, Nick Clegg berkata, platform itu akan melakukan segala yang boleh untuk memulihkan perkhidmatan di Rusia.
‘’Tidak lama lagi, berjuta-juta rakyat Rusia akan mendapati bahawa mereka terputus daripada maklumat yang boleh dipercayai dan kehilangan cara untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan,” kata Clegg di laman Twitter.
Sementara itu, Putin meluluskan undang-undang yang menyasarkan wartawan dan menyekat sebarang laporan yang dianggap kerajaan sebagai ‘berita palsu’ mengenai pertempuran di Ukraine.
Di bawah undang-undang baharu itu, wartawan boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun kerana memberikan maklumat palsu dan 15 tahun jika kesalahan itu mendatangkan ‘impak serius’.
Undang-undang itu melarang kempen Rusia di Ukraine untuk digambarkan sebagai ‘pencerobohan’ atau ‘perang’ dan menggalakkan wartawan memanggilnya ‘operasi ketenteraan khas’. – Agensi