PARIS – Juara MotoGP 2021, Fabio Quartararo mengakui dia lebih bermotivasi berbanding musim lalu ketika turun melakukan persiapan menjelang aksi pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2020 di Qatar esok.
Kini, pelumba kelahiran Perancis tersebut tekad untuk memenangi gelaran dunia sekali lagi meskipun musim lalu tidak memiliki jentera paling pantas.
Saingan musim lalu menyaksikan Quartararo mengetepikan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia biarpun jaguh Itali itu meraih empat kemenangan terakhir.
Justeru, Quartararo yakin dia mampu mempertahankan mahkotanya pada musim ini, meskipun Ducati menurunkan lapan jentera Desmosedici.
“Anda tidak pernah tahu sama ada anda akan berjaya memenangi gelaran. Selepas menjulang satu kemenangan, kini saya mahu yang kedua menjadi milik saya sekali lagi.
“Pastinya saya akan berikan yang terbaik setiap tahun. Sudah tentu matlamat utama saya adalah untuk memenangi beberapa gelaran dunia.
“Tahun lalu kami tidak mempunyai jentera terpantas, namun kami berjaya mencapai matlamat kami. Kenapa tidak buat kali kedua,” kata Quartararo.
Ducati dijangka menjadi pasukan dominan musim ini dan lebih pantas daripada Yamaha sekali lagi tahun ini.
Bagaimanapun, Quartararo turut mengakui dia sedikit kecewa selepas keputusan yang kurang baik dalam ujian pramusim di Malaysia dan Indonesia.
“Saya menjangkakan lebih banyak lagi perubahan daripada Yamaha terutama dalam aspek enjin. Apa yang saya mahu ialah M1 mempunyai lebih kuasa untuk memecut laju.
“Tetapi, secara keseluruhan pasukan telah melakukan yang terbaik dan sekarang saya fokus 100 peratus pada perlumbaan minggu ini di Qatar,” ujarnya.
– AGENSI