fbpx

Pupuk anak jalani hidup sihat elak obes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

MUSIM cuti sekolah kini bermula. Jika dahulu, ibu bapa sibuk membuat perancangan membawa anak-anak beriadah mahupun bercuti di dalam atau luar negara. Namun berbeza pula dua tahun kebelakangan ini apabila cuti sekolah kebanyakan masa dihabiskan di rumah.

Semuanya kerana bimbang dengan risiko dijangkiti Covid-19, tambahan pula dengan angka kes harian yang melebihi 20,000 sejak beberapa minggu lalu.

Simpati penulis apabila membaca keluhan seorang ibu yang bimbang anak-anaknya banyak menghabiskan masa sepanjang cuti sekolah dengan gajet.

Kata wanita berusia 42 tahun itu, gajet dengan anak-anaknya sudah diibaratkan ‘kembar’ apabila peranti mudah alih itu sentiasa melekat di tangan.

Tidak dinafikan kurang aktiviti sepanjang keberadaan di rumah menyebabkan anak-anak kecil cenderung untuk didedahkan dengan gajet bagi menghilangkan kebosanan mereka.

Melihatkan trend kanak-kanak yang pasif dalam dunia hari ini, tidak hairanlah jika Malaysia dilaporkan menduduki tangga ketiga di Asia yang mencatatkan peratusan tertinggi obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dilakukan pada tahun 2019, sebanyak 29.8 peratus kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 17 tahun di negara ini mempunyai berat badan berlebihan dan obes.

Daripada jumlah itu, seba­nyak 14.8 peratus adalah obes, manakala selebihnya berlebihan berat badan.

Ternyata penemuan ini sangat menggerunkan kerana ia me­nunjukkan trend peningkatan melebihi tiga kali ganda dalam tempoh tidak sampai satu dekad memandangkan kajian yang sa­ma juga menunjukkan, peratusan kanak-kanak obes hanya 3.9 peratus pada 2011.

Selain perlu menjaga diet ha­rian, kanak-kanak ini sepatutnya menjalani kehidupan sihat de­ngan aktif bergerak, bermain dan bersenam.

Pensyarah Pusat Su­kan dan Sains Eksesais dari Universiti Malaya, Mohd. Firdaus Abdullah berkata, sejak bayi lagi, kanak kanak menghabiskan ba­nyak masa merenung peranti berban­ding melakukan pelbagai aktiviti fizikal di luar rumah.

“Keperluan untuk senaman fizikal adalah penting bagi per­kembangan yang sihat dan pencegahan penyakit masa de­pan.

“Selain mengurangkan kemungkinan mendapat penyakit kronik di kemudian hari seperti jantung dan diabetes, ia mampu meningkatkan keyakinan dan semangat selain meningkatkan tumpuan, tingkah laku dan kawalan diri untuk berjaya dalam akademik.

“Justeru, antara kaedah yang boleh dilakukan ialah mendedahkan anak-anak dengan kepelbagaian aktiviti, menunjukkan contoh teladan seperti menjalani gaya hidup sihat serta penawa­ran ganjaran,” katanya.

Justeru dengan eksplorasi pe­ngetahuan dan keinginan ibu bapa terhadap penglibatan anak-anak dalam melakukan aktiviti fizikal, ia mungkin mampu me­ngubah tabiat anak dan seterus­nya memupuk minat untuk menjalani gaya hidup sihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI