fbpx

Perang Ukraine bantut ekonomi dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harga makanan juga meningkat akibat perang dan ia merupakan masalah yang sangat nyata untuk negara-negara miskin. - Sergey Ponomarev/New York Times

WASHINGTON – Presiden Bank Dunia, David Malpass memberi amaran bahawa perang di Ukraine adalah malapetaka kepada dunia kerana ia akan menyekat pertumbuhan ekonomi, lapor Badan Penyiaran Britain semalam.

Menurutnya, peperangan tersebut berlaku pada masa yang tidak sesuai untuk seluruh dunia ekoran inflasi kian meningkat.

“Kesan ekonomi daripada peperangan ini akan turut memberi kesan kepada negara-negara lain, manakala peningkatan harga bahan api global secara khususnya selain inflasi akan paling teruk menjejaskan negara-negara miskin.

“Harga makanan juga  meningkat akibat perang dan ia merupakan masalah yang sangat nyata untuk negara-negara miskin,” kata Malpass.

Tambah beliau, Rusia dan Ukraine merupakan negara pengeluar makanan utama dunia dengan Ukraine adalah pengeluar minyak bunga matahari terbesar serta diikuti oleh Rusia.

Kedua-dua negara merangkumi 60 peratus daripada penghasilan global minyak tersebut.

Sementara itu, menurut firma pelaburan JP Morgan, Rusia dan Ukraine menyumbang sebanyak 28.9 peratus daripada eksport gandum global.

Bekalan Rusia bagi komoditi itu bagaimanapun kini terbatas disebabkan oleh sekatan meluas yang menyukarkan negara-negara lain untuk membeli produknya.

Sementara bekalan dari Ukraine pula telah dihentikan ekoran perang menyebabkan pelabuhan-pelabuhan negara itu ditutup.

Dalam pada itu, Malpass berkata, sekatan yang dikenakan ke atas Rusia juga akan menjejaskan bekalan tenaga kepada Eropah Barat.

“Kira-kira 39 peratus tenaga elektrik yang digunakan oleh  Kesatuan Eropah dibekalkan dari stesen-stesen janakuasa yang membakar bahan api fosil. Rusia adalah sumber terbesar bagi minyak dan gas tersebut,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI