PUTRAJAYA – Katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) di Putrajaya mencatatkan peningkatan peratusan pengisian sehingga 100 peratus semalam, sekali gus tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia diikuti oleh Perlis (73 peratus), Selangor (61 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus), Johor (57 peratus), Perak (51 peratus) dan Kelantan (50 peratus).
“Bagi katil bukan ICU, 12 negeri melebihi peratusan pengisian 50 peratus iaitu Selangor (114 peratus), Perak (98 peratus), Perlis (98 peratus), Kuala Lumpur (93 peratus), Putrajaya (93 peratus), Kelantan (79 peratus) dan Pahang (78 peratus).
“Selain itu, Terengganu (71 peratus), Sarawak (65 peratus), Johor (64 peratus), Pulau Pinang (58 peratus) dan Sabah (56 peratus),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ujarnya beliau, hanya Melaka mencatatkan peratusan pengisian katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) melebihi 50 peratus iaitu 56 peratus semalam.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula meningkat kepada 211 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 24 peratus.
“Dalam masa sama, kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital sebanyak 1,997 kes semalam melibatkan 721 kes (36.1 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima serta 1,276 kes (63.9 peratus) lagi adalah kategori satu dan dua,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE