fbpx

Misteri kematian selebriti popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNIA hiburan bukan hanya dibanjiri dengan sensasi, kontroversi atau gosip berkaitan kerjaya bahkan juga kisah kematian selebriti terkenal yang sukar terungkai.

Tanpa sedar, banyak kes kematian melibatkan selebriti terkenal dunia masih belum menemui titik akhir dan kekal misteri sehingga hari ini.

Terdapat beberapa kes yang meninggalkan tanda tanya dan mencetuskan 1,001 spekulasi dan apa yang sebenarnya berlaku.

Dendam, khianat dan cemburu dengan kejayaan yang diraih antara kunci utama yang dikhabarkan menjadi punca kematian selebriti berkenaan.

Malah, terdapat beberapa kes kematian misteri melibatkan selebriti popular juga masih lagi aktif dibahaskan oleh pelbagai pihak ketika ini.

Berikut, Gala menyenaraikan beberapa kisah kematian penuh misteri melibatkan artis ternama tempatan dan antarabangsa.

Tangmo Nida

Kematian aktres terkenal Thailand, Tangmo Nida atau Nida Patcharaveerapon pada 26 Februari lalu menjadi perbualan hangat netizen dek kerana diselubungi misteri.
Nida, 38, dipercayai terjatuh ke dalam sungai sekitar pukul 11 malam Khamis lepas ketika menaiki bot di Sungai Chao Phraya bersama-sama enam orang rakannya dari Krung Thon Bridge ke Rama VII Bridge.

Mayat Nida dilaporkan ditemui pasukan penyelamat dua hari kemudian selepas dilihat terapung kira-kira satu kilometer dari lokasinya terjatuh.

Menurut laporan media, Nida dikatakan duduk di bahagian paling belakang sebelum tergelincir dan jatuh ke dalam sungai. Lebih malang, mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian berlaku.

Kes semakin ‘haru-biru’ dan misteri apabila ibu Nida, Panida Sirayutthayothin tidak percaya kematian anaknya disebabkan jatuh secara tidak sengaja ketika menaiki bot laju di Sungai Chao Phraya.

Malah, dia juga seolah-olah mengesyaki terdapat pihak yang tidak menyukai Nida berada di atas bot tersebut.

Sehingga kini, proses siasatan merungkai punca kematian pelakon Bai Mai Tee Plid Plew itu masih berjalan. Adakah dia mati dibunuh atau tanpa sengaja terjatuh ke dalam sungai?

Marilyn Monroe

Marilyn Monroe, sepotong nama yang sangat dikenali di seluruh dunia pada era kegemilangannya sekitar tahun 1950-an.

Pemilik nama penuh Norma Jean Mortenson itu memiliki segala-galanya, kekayaan dan kemasyhuran yang diimpikan setiap individu.

Pada 5 Ogos 1962, seluruh dunia digemparkan dengan berita kematian pelakon filem Some Like It Hot yang dikatakan berpunca pengambilan dos pil tidur secara berlebihan.

Bintang ternama Hollywood itu ditemui dalam keadaan terbaring kaku di bawah selimut sambil memegang ganggang telefon dan dalam meja sisi katilnya pula dipenuhi dengan botol ubat-ubatan.

Menurut pakar bedah, punca kematian Monroe berkemungkinan besar sebagai bunuh diri memandangkan pernah mempunyai sejarah kemurungan.

Namun, terdapat teori lain iaitu punca kematian Monroe telah dirancang iaitu dibunuh bagi menutup hubungan sulitnya dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy.

Di sebalik berjuta teori, punca kematian Monroe sehingga hari ini masih samar walaupun sudah enam dekad berlalu.

Suzzanna

Kematian Suzzanna atau nama penuhnya Suzzanna Martha Frederika van Osch Nathalia pada 15 Oktober 2008 meningalkan impak besar terhadap industri hiburan Indonesia. Kehilangan Suzanna begitu terasa, khususnya dalam kalangan penggiat perfileman.

Biar sudah lebih dua dekad, punca kematian pelakon filem Sundel Bolong itu masih meninggalkan misteri apabila terdapat beberapa keraguan yang timbul dalam kes kematiannya.

Antara spekulasi yang timbul ialah Suzzanna tersedak susu yang diminumnya sebelum disahkan meninggal dunia akibat penyakit kencing manis.

Kematian tersebut turut mencetuskan perdebatan antara suami, Clift Sangra dengan anak kandung Suzzanna, Kiki Maria dengan tuduhan ingin membolot harta isterinya.

Selain itu, misteri lain yang timbul ialah tiada tarikh kematian diukir pada makam Suzanna sehingga hari ini. Kata Clift, tiada sumber elektrik merupakan punca tukang ukir tidak menulis tarikh kematian pada makan Suzzanna sehingga kini.

Hingga sekarang masih ramai yang tertanya-tanya kebenaran di sebalik kematian Suzanna tetapi yang pasti Suzzanna akan sentiasa diingati sebagai ratu filem seram Indonesia.

Along Spoon

Kematian penyanyi kumpulan Spoon, Along 23 tahun lalu mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Kesnya sehingga hari ini masih diragui ramai termasuk ahli keluarga penyanyi tersebut.

Along atau nama sebenarnya Sabi’ul Malik Shafie yang popular dengan lagu Rindu Serindu-Rindunya dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 sebelum polis menjumpai rangka manusia dipercayai penyanyi itu yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, Negeri Sembilan pada 6 Januari 2000.

Polis kemudian menahan Lans Koperal Mohamed Ya’cob Demyati sebelum didakwa membunuh penyanyi berusia 19 tahun itu.

Pada 2 November 2010, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan hukuman mati ke atas tertuduh seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Seremban kerana membunuh Along yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri tertuduh.

Selain Rindu Serindu-Rindunya, Spoon ketika itu turut ‘meletup’ dengan lagu Memori Sekuntum Rindu, Kini dan Sepenuh Hati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI