fbpx

Lelaki khayal pil kuda serah diri lepas curi skrin mesin ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Skrin mesin ATM di sebuah bank di Jalan Maju, Kota Bharu yang dicuri suspek. FOTO IHSAN PEMBACA

KOTA BHARU – Seorang lelaki menyerah diri kepada polis hanya selepas setengah jam dia melarikan skrin mesin pengeluaran automatik (ATM) dari sebuah bank di Jalan Maju di sini hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun yang masih khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah jenis pil kuda telah menyerah diri di Balai Polis Kota Bharu di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, siasatan awal mendapati, seorang pemandu lori yang berusia 43 tahun menyedari kejadian tersebut kira-kira pukul 9.30 pagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat lelaki itu, suspek yang tidak dikenalinya dilihat membawa pemutar skru sebelum masuk ke dalam bank tersebut.

“Suspek kemudian dilihat mengumpil skrin mesin ATM berkenaan dengan mengguna pemutar skru.

“Pemandu lori itu telah melaporkan kejadian tersebut kepada polis selepas melihat suspek melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Iswara berwarna hijau selepas mencuri skrin mesin ATM,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Suhaimi memberitahu, bagaimanapun, suspek telah menyerah diri di Balai Polis Kota Bharu di sini dalam keadaan khayal sebelum polis merampas pemutar skru dan satu unit skrin mesin ATM bersamanya.

Katanya, selepas semakan dibuat, suspek didapati mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dengan jenayah dan dadah.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu esok untuk perintah reman.

Tambahnya, kes disiaaat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI