JOHOR BAHRU – Industri teksi sekitar bandar raya ini semakin ‘tenat’ selepas kekurangan penumpang ekoran sempadan negara antara bandar raya ini dan Singapura masih lagi ditutup.
Lebih memilukan, mereka juga kini terpaksa bersaing dengan perkhidmatan e-hailing yang semakin mendominasi industri itu ketika ini.
Menurut seorang pemandu teksi yang mahu dikenali sebagai Moon, 43, ketika ini kebanyakan pemandu hanya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM50 hingga RM100 sehari berbanding dahulu melebihi RM200 sehari.
Katanya, pendapatan itu adalah perolehan kasar sehari sebelum ditolak kos bahan api, selenggara teksi dan makan minum seharian.
“Selepas kerajaan mengumumkan sempadan ditutup, kami kehilangan kira-kira 70 peratus pelanggan. Ini kerana kebanyakan pelanggan kami sebelum ini terdiri daripada pelancong dan pekerja yang ulang alik dari Johor Bahru ke Singapura.
“Jika dulu nak dapat RM200 lebih sehari memang dapat, sekarang sehari nak dapat satu trip pun terpaksa menunggu dari pagi sampai ke tengah hari. Selagi sempadan tak buka beginilah nasib kami,” katanya kepada Kosmo!
Mengulas lanjut, Moon berkata, jika dahulu terdapat hampir 12,000 teksi beroperasi sekitar negeri ini terutamanya di Johor Bahru, namun sehingga kini yang masih bertahan tidak sampai 5,000 teksi.
“Separuh daripadanya pula kadang-kadang ‘tak jalan’ (beroperasi) kerana tidak berbaloi dari segi kos bahan api.
“Ada juga pemandu yang sehari hanya dapat kurang daripada RM15, bagaimana kami nak sara keluarga, nak isi minyak kereta dan bayar sewa rumah, berapa sahaja yang mampu kami bawa balik sehari?” soal Moon.
Senasib dengan Moon adalah seorang lagi pemandu teksi yang dikenali sebagai Ismail, 53, yang telah menjadi pemandu teksi lebih 10 tahun.
Katanya, kehidupan sebagai pemandu teksi di bandar raya ini semakin terhimpit dan hanya menunggu untuk ‘gantung lesen’ sekiranya tiada tindakan dibuat oleh kerajaan.
“Sekarang ini nak dapat empat atau lima trip sehari pun susah, macam hari ini (semalam) sampai pukul 2 petang baru dapat satu trip itu pun perjalanan dengan tambang sekitar RM7.
“Kebanyakan pelanggan pun hanya warga asing sahaja, orang tempatan lebih suka guna e-hailing, dalam 10 pelanggan nak jumpa warga tempatan seorang pun susah. Ramai suka naik Grab (e-hailing) kerana tambang murah,” ujarnya.
Turut menerima nasib sama adalah seorang lagi pemandu, Hussin Mohammad, 46, yang mendakwa kehadiran e-hailing sedikit sebanyak telah mengganggu ‘periuk nasi’ mereka.
“Kami bukan antipemandu e-hailing, tetapi kerajaan perlu selaraskan harga tambang supaya kami boleh bersaing dengan mereka (e-hailing), bersaing secara sihat,” jelasnya.