JOHOR BAHRU – Kerajaan menggariskan empat hala tuju pembangunan landskap negara dalam usaha menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hala tuju itu penting untuk pembangunan landskap bagi tempoh 25 tahun akan datang supaya ia menjadi lebih maju serta menawarkan kualiti landskap yang unggul bagi dinikmati generasi akan datang.
Beliau berkata, hala tuju pertama adalah memperkemas sistem jaringan landskap negara dengan menyediakan infrastruktur hijau menerusi pendekatan program pembangunan landskap yang menyeluruh.
“Kedua adalah mendaya upaya potensi dan nilai ekonomi industri supaya ia menjadi satu sumber pulangan dan ekonomi baharu negara.
“Ketiga, melindungi aset landskap Keluarga Malaysia secara perundangan bagi memastikan aset landskap dapat dilindungi,”katanya semasa berucap pada Hari Landskap Negara 2022 di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Besar Johor dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.
Tambah Ismail Sabri, hala tuju terakhir yang digariskan adalah mempertingkat kualiti perkhidmatan landskap negara yang lengkap di peringkat agensi, negeri dan tempatan supaya perkhidmatan
yang terbaik dapat diberikan kepada Keluarga Malaysia.-KOSMO! ONLINE