KUALA LUMPUR – Dua penyokong bola sepak ditahan bagi membantu siasatan berhubung perbuatan menghalang penjawat awam dalam satu pergaduhan yang tercetus ketika perlawanan antara Kuala Lumpur City dan Selangor FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pergaduhan disedari berlaku ketika sepasukan polis sedang bertugas di stadium lebih kurang 12.30 pagi.
“Ketika itu perlawanan bola sepak antara Kuala Lumpur City dan Selangor FC sedang berlangsung dan didapati beberapa orang penyokong kedua-dua pasukan bergaduh antara satu sama lain.
“Pihak polis cuba untuk meleraikan keadaan yang sedang kecoh dan telah mengarahkan kesemua suspek untuk beredar.
“Bagaimanapun dua lelaki tempatan tidak mengendahkan arahan yang diberikan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis telah bertindak memberkas kedua-dua suspek berumur 22 dan 23 tahun kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas.
Jelasnya, kedua-dua suspek ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan, dekat sini dan direman bermula hari ini hingga Isnin ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 117 KTJ.
Terdahulu, dua pasukan Lembah Klang, Kuala Lumpur City (KL City) dan Selangor FC berentap dalam aksi pertama Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini awal pagi tadi.
Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan terikat 3-3. – KOSMO! ONLINE