fbpx

Budak 11 tahun hubungi mak angkat sebelum rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Misha (gambar kecil) maut dalam kebakaran kilang getah di Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sempat menghubungi ibu angkatnya dipercayai untuk meminta bantuan sebelum terperangkap dalam kebakaran kilang getah sintetik di Kawasan Perindustrian Bakar Arang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Misha Kasih Abdullah, gagal menyelamatkan diri sebelum mayatnya yang dalam keadaan rentung ditemui di atas tilam dalam bilik tingkat atas bangunan pejabat kilang.

Menurut ibu angkat mangsa, Norbaizura Abu Bakar, 33, Misha yang merupakan warga Indonesia menghubunginya beberapa kali kira-kira pukul 3 pagi.

“Saya tidak menyedari panggilan telefon itu kerana sedang nyenyak tidur.

“Mungkin dia cuba memaklumkan tentang kejadian dan mahu meminta tolong daripada saya, namun semuanya berakhir dengan kematiannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Norbaizura merupakan pekerja di kilang tersebut.

GAMBAR kenangan Norbaizura bersama Misha.

Menurutnya lagi, mangsa sepatutnya bermalam di rumahnya di Taman Lembah Merbok, Merbok di sini pada malam kelmarin.

“Mangsa bagaimanapun enggan pulang bersama selepas saya habis waktu bekerja kerana rumah mengalami gangguan bekalan air.

“Bilik di tingkat atas itu sememangnya merupakan bilik tetap mangsa jika dia tidak dapat menghabiskan masa bersama saya di rumah,” ujarnya.

Katanya, walaupun mangsa beragama Islam, dia juga merupakan cucu angkat kepada pemilik kilang, Teoh Soon Kok, 69, selain disayangi semua pekerja kilang di situ.

“Ibu dan bapa kandung mangsa adalah warga Indonesia dan telah lama pulang ke negara asal mereka dan meninggalkan Misha Kasih untuk dijaga Norbaizura  sejak dilahirkan.

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran kilang getah sintetik di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Sayani Saidin berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui rentung selepas kerja pemadaman selesai dijalankan kira-kira sejam kemudian

“Semasa kejadian terdapat lima ahli keluarga pemilik kilang dan dua pekerja lelaki bermalam di beberapa buah bilik kilang itu. Mereka berjaya keluar menyelamatkan diri.

“Mangsa dipercayai terperangkap di dalam biliknya kerana tangga kayu yang menjadi satu-satunya jalan ke biliknya dipercayai terbakar,” katanya.

Menurut Sayani, siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada bilik pentadbiran kilang yang terletak berdekatan bilik mangsa.

“Disebabkan kilang itu dibina daripada kayu dan dipenuhi pelbagai barangan mudah terbakar kita mengambil masa lebih sejam untuk memadamnya.

“Kita sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian melebihi RM16 juta,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI