fbpx

Biar di usia emas, tetap handal naikkan ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUKAN hanya sebagai peneman, malah isteri Jamaludin turut cekap menaikkan ikan yang dipancing mereka berdua.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kejayaan seorang pemancing ‘otai’ yang berjaya menjinakkan ikan GT seberat 18 kilogram (kg) di perairan Pulau Jerejak dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang.

Menjejaki pemancing itu, Jamaludin Mohd, 61, rupa-rupanya telah sebati dengan laut memandangkan dia yang merupakan anak jati Sungai Ara, Pulau Pinang menjadikan laut sebagai lokasi permainan sejak kecil.

Pada usia 12 tahun lagi, Jamaludin atau lebih dikenali sebagai Pak Din telah mengenal selok belok lautan dan mula jatuh cinta dengan hobi memancing.

Kini, setelah berusia separuh abad, hobi memancing itu diteruskan lagi dengan penyertaan isterinya, Latifah Abdullah, 60, yang menjadi peneman setia setiap kali Pak Din keluar ke laut.

Pak Din yang kini menetap di Sungai Petani, Kedah berkata, dia akan turun memancing di sekitar perairan Pulau Pinang dua kali setiap bulan bersama isterinya bagi melepaskan ‘gian’.

Katanya, kejayaan menjinakkan ikan GT seberat 18 kg pada bulan lalu itu merupakan rekod peribadinya yang tersendiri apabila pertama kali berjaya menaikkan ikan yang bersaiz sebesar itu.

“Sebelum ini, saya pernah menaikkan ikan GT, tetapi beratnya di bawah 10kg dan ia tidak sukar untuk dijinakkan.

“Ikan GT seberat 18 kg yang saya berjaya jinakkan ini adalah yang paling besar dan agak liar dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk dinaikkan.

“Kejayaan ini adalah satu rekod peribadi saya sepanjang memancing di Pulau Pinang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, tambah manis sekali kejayaan menjinakkan ikan tersebut juga turut dibantu isterinya yang bersama-sama menarik joran ketika ikan tersebut mengganas menarik tali pancing sehingga ke dasar.

“Kalau saya seorang diri, mungkin ikan tersebut terlepas kerana tidak larat untuk menjinakkannya.

“Nasib baik isteri saya turut membantu,” katanya.

JAMALUDIN dan isteri tidak pulang dengan tangan kosong dengan membawa pulang ikan besar seperti pari, keparu dan siakap jika keluar memancing di lokasi digemari mereka iaitu di kawasan Pulau Jerejak dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pak Din berkata, dia mempunyai bot sendiri sejak 10 tahun lalu dan ia memudahkan dirinya untuk meneruskan hobi memancing bersama isteri.

“Selepas bersara, saya kerap turun ke laut. Sebelum isteri turut serta berkongsi hobi ini, saya memancing bersama rakan-rakan kerana saya turut bertindak selaku tekong.

“Namun apabila usia semakin meningkat, saya mahu meluangkan masa bersama isteri dan nasib baik dia tidak mabuk laut dan cepat serasi dengan angin laut ketika kami memancing,” katanya.

Tambahnya, sepanjang memancing di Pulau Pinang hanya ada dua lokasi yang kerap dikunjunginya untuk menduga kail.

Mengulas lanjut, Pak Din berkata, sejak dahulu dia akan memancing di kawasan Pulau Jerejak dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sahaja.

“Di sini banyak lubuk ikan bagi sesiapa yang mahir dan mengenali kawasan sekitarnya dan antara spesies ikan yang kerap ditemui di kawasan ini adalah ikan kerapu, jenahak dan juga senangin.

“Saya dan isteri sering ke kawasan ini untuk merehatkan minda dan menguji skil memancing kami,” katanya.
Pak Din menambah, dia lebih selesa menggunakan teknik bottom atau pancingan dasar untuk memburu ikan di lubuk-lubuk ikan sepanjang kawasan Pulau Jerejak dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Kebanyakan pemancing akan bermula dengan teknik pancingan dasar.

“Saya mula belajar teknik ini sejak berusia belasan tahun lagi dan masih menggunakannya sehingga kini, dari berumpankan cacing hinggalah kepada anak-anak ikan atau anak udang,” katanya.

Tambahnya, teknik bottom ini mudah untuk dikuasai dan senang dipelajari serta boleh digunakan untuk mendaratkan banyak spesies ikan bersaiz besar dan sederhana.

“Umpan untuk memancing jenis bottom ini juga senang diperoleh seperti cacing, anak ikan, anak udang, anak sotong dan lain-lain.

“Isteri saya juga telah mahir menggunakan teknik ini walaupun baru setahun dua berjinak-jinak dengan dunia memancing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI