fbpx

Tropicana bangunkan pusat komuniti RM2.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Thian Shyang (empat dari kiri) dan Juhari (lima dari kiri) pada majlis pecah tanah di Langkawi, baru-baru ini.

PETALING JAYA –Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) melancarkan majlis pecah tanah bagi pembangunan Pusat Rehat dan Rekreasi (R&R) Pantai Kok baharu di Langkawi bernilai RM2.5 juta, dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Air Hangat, Datuk Juhari Bulat.

Inisiatif dengan kerjasama kerajaan negeri itu bakal menyaksikan pengubahsuaian dan peningkatan kemudahan sedia ada di pusat berkenaan bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat Langkawi.

Pusat R&R Pantai Kok terletak di atas tanah seluas 0.49 ekar (0.2 hektar) yang disumbangkan oleh Tropicana dan kerja-kerja pengubahsuaian dijangka siap pada suku tahun ketiga 2022.

Ini termasuk pertambahan kemudahan sedia daripada lima kepada lapan lot komersial selain penambahbaikan kemudahan tandas, surau dan tempat letak kereta.

Pengarah Eksekutif (Projek) Tropicana Khoo Thian Shyang berkata, majlis pecah tanah tersebut menandakan satu lagi pencapaian bagi pihak Tropicana dan menandakan komitmen Kumpulan untuk membina sebuah perbandaran yang mampan dan bertenaga di Langkawi.

“Pusat R&R Pantai Kok didirikan di ambang pembangunan Tropicana yang akan datang di kawasan berkenaan dan kami berbangga menjadi rakan kongsi Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan dalam menambah baik kehidupan komuniti.

“Hal ini selari tumpuan teras Yayasan Tropicana dalam Redefining the Art of Caring serta peranan Tropicana sebagai pembangun komuniti,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tropicana Cenang, pembangunan terbaharu Tropicana seluas 2.1 hektar di Pantai Cenang, Langkawi.

Yayasan Tropicana menerajui pendekatan Tropicana terhadap dimensi sosial dengan menekankan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Dilancarkan pada 2011, yayasan itu telah menderma lebih daripada RM23 juta untuk pelbagai tujuan amal.

Pusat R&R Pantai Kok melengkapi projek Pantai Kok Tropicana yang akan datang, melibatkan pembangunan bercampur bersepadu seluas 44.61 ekar (18 hektar).

Ia merupakan sebahagian daripada bank tanah Tropicana seluas 127.84 ekar (51 hektar) di Langkawi, antaranya di Tanjung Rhu, Pulau Rebak Kecil dan Bukit Mali. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI