fbpx

Suami isteri tenang hadir proses perceraian bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna berkongsi kisah rumah tangganya yang berakhir dengan perpisahan namun masih tetap bersama membesarkan anak mereka.

PETALING JAYA – Setiap pasangan suami isteri pastinya menginginkan rumah tangga aman dan bahagia.

Namun, jodoh adalah rahsia Allah dan siapa kita untuk menyangkal takdir yang sudah tertulis sekiranya perkahwinan sebuah pasangan itu tidak mampu bertahan lama.

Menerusi perkongsian seorang pengguna @ennajasz di media sosial, dia tampil bercerita tentang kisahnya dan suami yang berakhir dengan perceraian selepas lebih lapan tahun hidup bersama.

Dalam rakaman tersebut dapat dilihat yang mereka berdua berada dalam keadaan yang cukup tenang dan ceria apabila sempat keluar awal pagi untuk bersarapan bersama sebelum menghadiri proses perceraian.

“Pada 2 Mac 2022, dia (suami) datang jemput bawa pergi sarapan sebelum nak mulakan hari kita, lepas berbulan pujuk, bincang, sempat bertekak juga la,” tulisnya pada kapsyen video yang dimuat naik itu.

Dalam pada itu, sementara menunggu giliran, mereka berdua kekal berpegangan tangan dan saling berbual sebelum keputusan akhir dibuat.

“Sepanjang tunggu proses dan giliran kita, sikit pun dia tak lepaskan peluang pegang tangan dan bergurau. Kalah orang baru nikah, sampai mak cik sebelah pun cemburu tengok, siap pandang sahaja,” ujarnya.

Jelas wanita berkenaan, walaupun dia dan suami mengambil keputusan untuk berpisah, namun kedua-dua berjanji akan terus menjaga dan membesarkan anak tunggal mereka bersama-sama.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut berasa sebak melihat pasangan tersebut kerana terlihat masih saling sayang antara satu sama lain walaupun jodoh mereka tidak berpanjangan.

“Walaupun hubungan perlu berakhir dengan perpisahan, tapi tanggungjawab kepada anak harus diteruskan, semoga masing-masing dapat mencari kebahagiaan sendiri, saya doakan untuk kalian berdua,” kata seorang pengguna.

“Nampak perasaan sayang itu masih ada kepada pasangan ini, sebab itu suami langsung tak lepas tangan sepanjang menunggu, mungkin kita tak tahu masalah apa yang mereka hadapi, mungkin akan kembali bersama suatu hari nanti, doakan untuk puan dan pasangan,” komen pengguna lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI