fbpx

Rindu Malaysia, Ramli Sarip pandang dari seberang tambak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMLI SARIP

PETALING JAYA – Penyanyi terkenal Datuk Ramli Sarip mengakui beliau sanggup berjalan-jalan di lokasi berhampiran sempadan Singapura-Malaysia semata-mata
mahu melepaskan kerinduannya terhadap negara yang menjadi rumah keduanya tempatnya mencari rezekinya sejak berdekad lampau.

Ramli, 70, yang berasal dari Singapura sanggup berbuat demikian kerana pada peringkat awal pandemik Covid-19 pintu sempadan antara dua negara ditutup.

“Sepanjang terkurung di Singapura, saya sering teringat Malaysia yang sudah menjadi rumah kedua saya. Rasa tidak lengkap hari saya, jika tiga empat hari tidak berkunjung ke Johor Bahru.

“Jadi apabila terjadinya wabak Covid-19, saya tidak boleh ke Malaysia. Bagi melepaskan rindu, dua tiga kali saya bersama rakan berjalan-jalan sekitar Pengkalan Tentera Laut semata-mata mahu melihat seberang laut,” ujar Ramli yang ditemui dalam sesi temubual di Hotel DoubleTree, Kuala Lumpur semalam.

Tambah penyanyi yang turut digelar Papa Rock itu, biarpun boleh berhubung menerusi telefon dan teknologi bersama keluarga dan sahabat di Malaysia, namun perasaannya jauh berbeza daripada pertemuan secara fizikal.

“Saya sanggup duduk dan pandang ke arah Johor Bahru, ibarat kalau gunakan teropong nampaklah orang di seberang sana. Memang saya boleh hubungi mereka, tetapi jiwa dan rasa itu tidak sama.

“Jika difikirkan kembali memang kelakar. Ibarat bercinta dalam keadaan yang tidak menyeronokkan. Dekat tapi jauh, jauh tapi dekat, begitulah pandemik mengajar kita,” tuturnya lagi.

Justeru, penyanyi yang popular dengan lagu Kamelia itu seakan tidak percaya apabila beliau berjaya masuk ke Malaysia atas urusan kerja sekitar Disember lalu.

“Waktu itu memang sukar untuk masuk ke Malaysia, saya perlu menghantar pelbagai dokumen, tetapi berpuas hati kerana dapat mengadakan persembahan di sini,” kongsi Ramli.

Bercerita lanjut tentang pandemik Covid-19, Ramli yang telah berada di Malaysia sejak Khamis minggu lalu, mendedahkan beliau baru sembuh daripada jangkitan virus berkenaan dua minggu lalu.

Meskipun berusia 70 tahun, Ramli tidak gentar terhadap virus berkenaan, kerana telah lengkap vaksinasi termasuk dos penggalak sebanyak tiga kali.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami gejala yang teruk, hanya batuk dan selesema. Selepas itu, ada rasa sedikit penat.

“Saya tidak gentar kerana sudah terima hakikat kita perlu hidup dengan virus ini. Jika dijangkiti, rawatlah seperti demam atau selesema dan ikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Meskipun saya berusia 70 tahun, saya lihat ada orang berusia 40 tahun lagi teruk kondisinya daripada saya. Bagi saya nyawa berada di tangan Allah, jadi tidak perlu bimbang berlebihan,” ujar Ramli yang masih sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.

Sementara itu, kehadiran Ramli ke Malaysia kali ini adalah untuk mempromosikan album terbaharunya berjudul Rasa yang telah bertemu peminat sejak penghujung tahun lalu.

Album Rasa memuatkan 10 buah lagu iaitu, Srikandi Zaman, Surat Cinta Kuala Lumpur, Nyanyian Sejagat, Irama Kasih, Kekasihku, Cinta Disebalik Musim, Ronggeng Rakyat, Sentosa Di Kubah Hayat, Orang Tua Bersidi Sakti dan Ayah dan Ibu yang merupakan nyanyian asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI