fbpx

Pelanggan terkejut mi sup berharga RM60 semangkuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar harga bagi semangkuk mi sup ikan yang dimakan di sebuah restoran di Sibu.

PETALING JAYA – Isu makanan mahal semakin menjadi-jadi ketika ini apabila terdapat peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga setiap menu dengan mendadak sehingga dikatakan tidak masuk akal.

Kebanyakannya memberi alasan harga bahan mentah semakin meningkat dan memaksa mereka untuk menaikkan harga jualan bagi mengelak kerugian.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang pengguna memuat naik hantaran memaklumkan harga bagi semangkuk mi sup ikan yang dimakan di sebuah restoran di Sibu adalah RM60.

Menurut pengguna tersebut, dia terkejut apabila dimaklumkan harga makanan berkenaan ketika ingin membuat pembayaran di kaunter.

Kemudian, dia memeriksa semula resit yang diberikan serta menanyakan kepada peniaga soal harga makanan yang terlalu mahal.

Balas peniaga itu, mi sup yang dipesan adalah menggunakan jenis ikan patin yang berharga RM190 per kilogram.

Tambah peniaga itu, harga mi sup tersebut memang agak mahal kerana kualiti ikan yang digunakan dan mempersoalkan mengapa pelanggannya itu tidak bertanyakan soal harga pada awalnya.

Sehubungan itu, dia terpaksa menerima harga tersebut walaupun baginya alasan yang diberikan peniaga terbabit kurang relevan.

Katanya lagi, ini juga merupakan silapnya kerana tidak bertanya terlebih dahulu mengenai harga hidangan itu sebelum membuat pesanan.

Insiden yang dikongsikan itu telah menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai yang rata-ratanya menganggap peniaga tersebut mengambil kesempatan mengenakan harga yang mahal kepada pelanggannya.

“Macam tipu sahaja, jarang peniaga nak guna ikan patin mahal untuk berniaga, bukan seekor pun dalam mi sup tu, harga semangkuk macam untuk makan lima orang, sebab itu penting untuk peniaga sediakan menu kepada pelanggan bagi semak harga sebelum pesan makanan,” luah Fazrina.

“Apa maksud peniaga itu pelanggan tak tanya harga dulu, bukan mereka yang patut sediakan harga hidangan untuk dilihat pelanggan, kiranya kalau pelanggan tidak bertanya, peniaga boleh sesuka hati kenakan harga yang mahal,” komen seorang pengguna lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI