fbpx

Kekurangan zat ganggu proses tumbesaran anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tahap tumbesaran kanak-kanak diukur menerusi ketinggian dan berat badan sesuai dengan usia mereka. – Gambar hiasan

SETIAP ibu bapa seboleh-bolehnya mahu anak-anak mereka membesar dengan baik dan sempurna pada setiap peringkat umur.

Namun begitu, ada kanak-kanak yang tidak terlepas daripada berdepan dengan masalah tumbesaran seperti tidak memiliki berat dan tinggi yang sepatutnya.

Malah, saiz badan juga lebih kecil berbanding kanak-kanak lain yang sebaya dengan mereka.

Kebiasaannya, untuk mengukur tahap tumbesaran kanak-kanak, pakar pediatrik akan mengambil ukuran ketinggian dan berat badan mereka.

Dengan menandakan ukuran tersebut pada carta pertumbuhan, pakar pediatrik boleh mengenal pasti tahap tumbesaran kanak-kanak dan memberikan nasihat yang sewajarnya kepada ibu bapa jika terdapat sebarang masalah.

Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi, Prof. Madya Dr. Azriyanti Anuar Zaini berkata, masalah tumbesaran boleh dikategorikan kepada tiga perkara yang melibatkan kekurangan berat badan, kekusutan berat badan dan kebantutan.

Beliau menekankan bahawa ketiga-tiga kategori di atas amat membimbangkan dan sekiranya masalah kekurangan berat badan tidak dikenal pasti lebih awal, ini akan membawa kepada masalah kebantutan.

“Bantut dalam kalangan kanak-kanak berkait rapat dengan tahap sistem imun badan yang rendah, penyakit kronik, masalah kognitif dan kebantutan di usia remaja dan dewasa kelak.

“Kajian juga menunjukkan ia boleh memberi kesan negatif terhadap taraf sosioekonomi apabila mereka memulakan alam pekerjaan,” jelasnya.

Kadar kebantutan dalam kalangan kanak-kanak meningkat sejak sedekad lalu.

DR. AZRIYANTI

Kini satu daripada lima kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Malaysia didapati terbantut.

Dalam pada itu, Dr. Azriyanti berkata, sebagai penduduk di Asia Tenggara, isu ketinggian tidak dipandang serius dan pendek sering dianggap normal oleh masyarakat.

“Disebabkan itu, masalah kebantutan dalam kalangan kanak-kanak mungkin tidak dikenal pasti di peringkat awal.

“Salah satunya cara untuk memantau pertumbuhan kanak-kanak adalah dengan mencatat ukuran ketinggian mereka pada carta pertumbuhan setiap tiga hingga enam bulan sekali,” jelasnya.

Tambahnya, carta yang paling lazim digunakan ialah Carta Piawaian dan Carta Rujukan Pertumbuhan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sekiranya ukuran ketinggian jatuh di bawah -1 sisihan piawai daripada min (purata), kanak-kanak tersebut dikategorikan sebagai berisiko mengalami kebantutan.

Kanak-kanak yang mempunyai ukuran ketinggian di bawah -2 sisihan piawai adalah terbantut.

Manakala, ukuran ketinggian di bawah -3 sisihan piawai menunjukkan bahawa kanak-kanak mengalami masalan kebantutan yang teruk.

Sementara itu, Dr. Azriyanti menjelaskan, selain potensi genetik dan masalah hormon dalam badan, masalah kekurangan zat makanan adalah punca utama kanak-kanak terbantut.

Menurutnya, kesannya lebih teruk dengan adanya faktor-faktor lain seperti masalah sistem imun badan yang lemah dan penyakit kronik.

“Kanak-kanak kecil perlu mendapatkan pemakanan yang sewajarnya bagi memenuhi keperluan tenaga dan zat yang tinggi untuk menampung tumbesaran dan perkembangan mereka.

“Namun, ramai kanak-kanak mungkin mengalami kekurangan zat kerana pengambilan makanan yang tidak mencukupi, kurang selera makan, cerewet tentang makanan atau masalah lain seperti tabiat pemakanan tidak sihat,” terangnya.

Tambahnya, selain masalah tumbesaran, kanak-kanak yang kekurangan zat juga akan lebih mudah untuk mendapat penyakit.

Pemakanan dan sistem imun badan saling berkait.

Diet yang sihat membantu mengekalkan keseimbangan mikroorganisma yang hidup di dalam usus.

Dr. Azriyanti menjelaskan, keseimbangan tersebut membolehkan mikroorganisma berfungsi seperti melindungi badan daripada kuman pembawa penyakit, menghasilkan vitamin dan asid lemak, selain memastikan usus dan sistem saraf pusat dalam keadaan baik.

“Amalan pemakanan yang tidak sihat akan mengganggu keseimbangan mikroorganisma tersebut.

“Kesannya boleh meningkatkan risiko ketahanan badan yang lemah dan kanak-kanak lebih mudah mendapat jangkitan kuman. Kerap jatuh sakit boleh mengganggu proses tumbesaran mereka,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI