KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup masuk minuman keras bernilai RM2.69 juta termasuk cukai di Pelabuhan Utara, baru-baru ini.
Kesemua arak dikesan di dalam enam kontena berasingan di pelabuhan itu di antara 14 hingga 22 Februari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM, Datuk Abdullah Jaapar berkata, terdapat minuman keras berjumlah 155,040 liter itu dipercayai popular di Acheh juga disorokkan di sebalik barangan lain di dalam kontena bagi mengaburi pihak berkuasa ketika membuat pemeriksaan.
Tambah beliau, kontena-kontena tersebut bermuatan barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import 2017) iaitu minuman keras yang disyaki belum lulus kastam .
“Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai bertindak selaku ejen.
“Nilai rampasan minuman keras itu dianggarkan RM396,000 membabitkan jumlah duti cukai sebanyak RM2.294 juta,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam, Pulau Indah di sini hari ini.
Jelas Abdullah, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti negara pengeksport barang larangan tersebut.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 seperti cubaan mengimport barang tak berkastam di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, mengikut mana lebih tinggi atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE