PASUKAN Kuala Lumpur City (KL City) perlu segera melupakan keputusan mengecewakan pada saingan Piala Sumbangsih minggu lalu dengan memberi tumpuan penuh pada aksi pertama Liga Super menentang Selangor FC malam ini.
Motivasi skuad Warga Kota kendalian Bojan Hodak nampak terjejas susulan kekalahan 0-3 kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu lepas.
Pemain tengah KL City, Zhafri Yahya berharap rakan-rakan sepasukan dapat memberikan tumpuan penuh pada aksi pembuka tirai Liga Super dalam usaha memburu tiga mata berharga.za
“Bagi saya perlawanan menentang JDT hari itu sebahagian daripada aksi pemanas badan dan persiapan kita pun bukanlah yang terbaik sebelum ini disebabkan kekurangan pemain-pemain dalam tempoh pra musim.
“Jadi, banyak perkara yang perlu dilakukan untuk pasukan ubah formasi baharu sebab kita pun ada pemain baharu yang perlu mendapatkan kombinasi antara satu sama lain.
“Untuk itu, keutamaan KL City adalah untuk fokus aksi pertama lawan Selangor nanti dan kita perlu melupakan kekalahan kepada JDT tempoh hari.
“Mahu atau tidak, kita perlu mendapatkan mata memandangkan Selangor nampak lebih bersedia musim ini dan saya percaya pasukan akan beraksi lebih yakin kali ini,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran musim ini, Zhafri yang kini berusia 28 tahun mengakui berharap dapat bebas daripada kecederaan selain mengekalkan rentak konsisten seperti tahun lalu.
“Saya mahu lebih fokus dan kekalkan momentum ketika ini mendapatkan keputusan positif berbanding musim lepas selain harap dapat elak daripada dibelenggu kecederaan,” katanya.
Zhafri sebelum ini muncul wira buat skuad KL City menjulang trofi Piala Malaysia tahun lalu dengan menjaringan satu gol untuk menewaskan JDT 2-0 di pentas final.