BERTEMPAT di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, kumpulan rock tersohor tanah air, Wings membuatkan lebih 200 peminat terus menyematkan kepercayaan terhadap keasyikan muzik mereka menerusi penganjuran persembahan ‘Rock N Dine’ Sabtu lalu.
Persembahan sempena usia matang 36 tahun Wings dalam arena muzik tanah air tersebut dihadiri lebih 500 peminat. Jika ada gambaran paling sesuai tentang kualiti yang dicernakan kumpulan berkenaan barangkali perkataannya adalah spektakular, bertenaga dan luar biasa.
Persembahan dibahagikan kepada empat segmen iaitu Introduction, Radio, Medley 36 dan Ghotik Organ Introduction.
Sekitar pukul 9.30 malam, Wings yang dianggotai Datuk Awie selaku vokalis, Syam (gitar utama), Edrie (gitar kedua), Eddie (bass), dan Black (dram) mula memukul atmosfera persembahan menerusi lagu yang dipetik daripada album debut mereka, Belenggu Irama berjudul Dari Tuhan.
Biarpun berskala kecil dan persembahan lebih bersifat ‘intim’, permainan, paduan muzik dan kehebatan vokal Wings memang tiada tolok bandingnya. Selama 36 tahun berlalu, stamina Awie masih berada pada paras terbaik dan kualiti sama hadir daripada empat anggota Wings yang lain.
Selepas siren dibunyikan, Wings terus menyambung nuansa persembahan dengan mendendangkan empat lagu sekali gus iaitu Entah Kiri Entah Kanan, Jumpa Hilang, Mabuk 7 Lautan dan Ingatkan Dia.
Kejang tetap ‘jalan’
Selepas selesai segmen pertama, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman sempat bercanda dengan penonton yang hadir. Katanya, disebabkan terkinja-kinja di atas pentas dan barangkali atas faktor usia, otot belakang badannya sedikit kejang.
“Tiba-tiba cramped (kejang). Ingat muda sampai mati,” seloroh Awie usai melunaskan segmen perdana.
Keluhan tadi sedikit pun tidak membuatkan prestasi persembahan mula kendur. Wings bahkan terus mengganas dengan untaian lagu menggamit memori.
Segmen seterusnya menyaksikan Awie mendendangkan untaian karya yang sinonim di bibir para peminat. Opera Hidup, Awang Trasher, Lipas Kudung, Dalam Kehadiran Sofea dan Bernafas Dalam Lumpur.
M. Nasir akui kehebatan
Apa lagi yang boleh dikatakan, Wings sememangnya kekal antara kumpulan rock terhebat pernah dihasilkan industri muzik Malaysia dan itu merupakan satu fakta yang tidak boleh dinafikan.
Perkara tersebut diakui komposer ternama, Datuk M. Nasir yang turut hadir sebagai penonton persembahan berkenaan.
“Di Malaysia banyak kumpulan rock tapi tak ada yang sama dengan Wings,” ujar M. Nasir saat dijemput di atas pentas menyampaikan cenderahati kepada semua ahli kumpulan Wings bersempena 36 tahun penubuhan.
Persembahan kemudian memasuki segmen ketiga dan Wings terus menambat emosi penonton dengan lagu-lagu malar hijau antaranya, Intanku Kesepian, Syakilla, Belenggu Irama dan Anugerah. Keadaan semakin ‘panas’ apabila lagu popular, Taman Rashidah Utama mula berkumandang.
Lagu Harapan meneruskan semangat Wings yang ditiup dalam sanubari mereka yang hadir.
Segmen terakhir menyaksikan Wings terus melantunkan momen berharga apabila Romania dan Bujang Senang turut diperdengarkan.
Sejati berkumandang dan itu barangkali merupakan klimaks persembahan. Lagu berkenaan merupakan antara yang terbaik dan paling popular pernah dirakamkan Wings.
Setiap keseronokan pasti ada penghujungnya dan kali ini Peronda Jaket Biru dipilih sebagai penutup tirai. Apa lagi yang tidak mampu dibuktikan kumpulan rock lagenda ini. Hampir empat dasawarsa bersama, mereka kekal bersayap hebat keramat.