MUNICH – Masa depan penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland terus menjadi topik perbualan selepas kelibatnya dirakam keluar daripada sebuah restoran di Munich.
Perkembangan itu mengheret berita perpindahan Haaland ke Bayern Munich ketika gergasi Jerman itu turut dikatakan berminat untuk mendapatkan tandatangan bintang Norway itu.
Menguatkan lagi spekulasi perpindahan apabila Borussia Dortmund juga kini sedang bersiap sedia untuk mendapatkan bintang Chelsea, Timo Werner sebagai pengganti Haaland.
“Peluang untuk Haaland berhijrah pada musim panas kali ini agak besar. Kita akan melihatnya nanti.
“Dia (Haaland) akan mengambil langkah seterusnya. Semua orang tahu ketika dia mula-mula ke Dortmund, langkah ini (berhijrah ke pasukan lain) juga pasti akan datang,” kata ejennya, Mino Riola sebelum ini.
Sejak menyertai Dortmund pada Januari 2020, Haaland sudah pun meledak 80 gol dalam 79 penampilan dan rekod itu nyata menjadi tarikan besar buat kelab besar Eropah lain untuk cuba mendapatkan tandatangannya.
Ketika ini, pemain berusia 21 tahun itu memiliki klausa £75 juta (RM420.8 juta) yang akan diaktifkan bermula Jun ini biarpun nilainya dianggap lebih tinggi menyebabkan beberapa kelab di Liga Perdana Inggeris seperti Manchester City dan Manchester United mula memantau secara dekat perkembangannya. – AGENSI