PARIS – Bekas supremo Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone tidak bersetuju dengan tindakan membatalkan perlumbaan Grand Prix (GP) Rusia berikutan kemelut peperangan Rusia ke atas Ukraine ketika ini.
Perlumbaan yang sepatutnya berlangsung pada 25 September ini di Sochi telah menerima keputusan sebulat suara untuk dibatalkan pada Jumaat lalu.
Ecclestone yang menjadi individu penting mengubah lanskap sukan itu dengan meraih keuntungan berbilion dollar, mengakui tidak faham dengan tindakan FIA mencapai keputusan itu selain menganggap ia sebagai keputusan tidak masuk akal.
“Bagi saya, apa juga cara anda menilai, ia adalah satu keputusan yang tidak masuk akal. Sepanjang pengetahuan saya, tiada ada peperangan yang berlaku di Rusia.
“Jika dianjurkan sekali pun, ia tidak membawa sebarang perbezaan kepada mana-mana pihak.Keputusan menghukum Rusia dengan cara seperti ini tidak akan memberi kesan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin keseluruhannya.
“Ia tidak akan mengubah pendirian Putin. Perlumbaan ini tidak penting baginya (Putin) atau memberi kesan buruk kepadanya. Ini semua karut,” kata Ecclestone.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menerima kritikan hebat badan sukan dunia hingga menyebabkan kejohanan dibatalkan, malah atlet mereka tidak dibenarkan bertanding atas tiket berkecuali. – AGENSI