KUALA LUMPUR – Seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ yang disyaki dalang utama ditahan bersama lapan individu lain bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan saham pelaburan Planetrade (Plan E Investment) membabitkan kerugian berjumlah RM3.3 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kesemua individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan enam wanita berusia 41 hingga 62 tahun di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang pada 1 Mac lalu.
“Hasil siasatan mendapati ‘Datuk Seri’ yang berusia 46 tahun itu disyaki dalang utama disebalik skim penipuan pelaburan dan menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu yang tidak diiktiraf.
“Turut dirampas enam buah kenderaan mewah iaitu sebuah Bentley, Toyota Vellfire (2), sebuah Mercedes Benz GLC 200, sebuah BMW X4, sebuah Ford Ranger dan pelbagai barangan lain-lain.
“Pihak JSJK turut membekukan 27 akaun bank berkaitan sindiket berkenaan membabitkan wang berjumlah lebih RM750,000 serta pemilikan saham dalang utama terbabit di empat syarikat,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, dekat sini hari ini.
Menurut beliau, operasi dijalankan selepas pihak JSJK menerima 21 laporan polis yang dibuat mangsa di seluruh negeri membabitkan kerugian keseluruhannya berjumlah RM3.3 juta.
Jelas beliau, siasatan yang dijalankan mendapati sindiket yang mula beroperasi sekitar Januari 2021 menawarkan pelaburan berasaskan pembelian Saham Keutamaan atau ‘Preference Share’ melalui ejen yang dilantik nenerusi laman sosial.
“Ejen menjanjikan kadar keuntungan tetap sekitar empat hingga lima peratus sebulan daripada modal yang dilaburkan dan meyakinkan bahawa wang pelaburan akan dilabur ke dalam pelbagai medium pelaburan patuh syariah di dalam dan luar negara bagi menjamin kadar keuntungan yang besar dan stabil.
“Pada awalnya pelabur menerima keuntungan bulanan yang dijanjikan namun setelah beberapa bulan, sindiket akan memutuskan perhubungan komunikasi dengan pelabur,” ujarnya.
Terdahulu, media mendedahkan seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ menjerat lebih ramai pelabur menyertai skim pelaburan saham dengan menampilkan perwatakan menarik dan warak.
Datuk Seri berkenaan turut menyediakan bunga serta coklat selain layanan terbaik kepada setiap pelabur yang datang ke pejabatnya yang terletak di Desa City Park, Sentul di sini. – KOSMO! ONLINE