fbpx

Bimbang runtuhan cerun jejas struktur Empangan Kenyir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesan runtuhan cerun di Kampung Jenagor berhampiran Empangan Kenyir, Hulu Terengganu semalam. - Putqra Hairry Rosli

HULU TERENGGANU – Kejadian aliran puing yang menyebabkan beberapa cerun runtuh di Jenagor dekat Stesen Janakuasa Sultan Mahmud di sini merisaukan ribuan penduduk kampung berhampiran.

Fenomena itu bukan sahaja meruntuhkan cerun yang begitu hampir dengan empangan terbabit malah membawa sisa kayu dipercayai dari hutan di situ.

Seorang penduduk, Ghazali Abdul Rahman, 63, berkata, dia dan penduduk kampung lain bimbang runtuhan cerun itu akan menjejaskan struktur Empangan Kenyir.

“Berdasarkan pemerhatian saya, setakat ini struktur premis perniagaan, pondok pengawal dan surau yang terletak berhampiran pintu masuk empangan telah ranap.

“Keadaan ini sahaja sudah amat menakutkan, saya tidak dapat bayangkan malapetaka yang bakal jadi sekiranya melibatkan struktur empangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sebahagian sisa kayu yang berkumpul di Sungai Terengganu berhampiran Empangan Kenyir, Hulu Terengganu kelmarin.– Putqra Hairry Rosli

Ghazali berkata, dia percaya runtuhan cerun itu berpunca daripada pergerakan tanah di Bukit Pancor dan Bukit Rasok berhampiran.

Ujarnya, pergerakan tanah di kawasan berbukit itu di­sebabkan hujan terlalu lebat dan dipercayai sebagai punca banjir lumpur hingga ke mukim Tersat.

Seorang lagi penduduk, Suhaili Suhaidi, 43, pula berkata, dia terkejut apabila dapati runtuhan cerun terbabit amat serius.

“Kami tidak dengar bunyi siren amaran daripada pihak pengurusan empangan pada hari kejadian (Ahad lalu).

“Saya rayu kerajaan negeri dan agensi berkenaan tidak pandang ringan dan segera mengambil tindakan membaiki kerosakan segera,” katanya.

Suhaili berkata, penduduk kampung mahu jaminan ke­selamatan tinggal dekat situ.

Kosmo! semalam melaporkan Terengganu berisiko me­ngalami kejadian aliran puing lebih kerap sekiranya negeri berkenaan menerima taburan hujan yang ba­nyak dan dalam tempoh lama.

Timbalan Pengarah ­Geosains, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Terengganu, Mazlan Mohamad Zain berkata, pihak­nya telah mengenal pasti beberapa cerun runtuh khusus­nya di Kawasan Jenagor dekat situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI