WASHINGTON – Lembaga Eksekutif Bank Dunia telah meluluskan lebih AS$1 bilion (RM4.19 bilion) daripada tabung dana Afghanistan yang dibekukan bagi tujuan pembangunan negara itu, lapor laman berita Wions News.
Kelulusan dana itu dilaporkan bakal digunakan untuk membiayai program pendidikan, pertanian, kesihatan dan keluarga.
Pengagihan wang dana itu tidak akan diserahkan secara langsung kepada pemerintah Afghanistan sekaran itu Taliban sebaliknya diagihkan melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan-kumpulan bantuan antarabangsa.
Rancangan itu akan memberikan rangsangan yang ketara dalam usaha meredakan krisis kemanusiaan dan ekonomi yang semakin teruk di negara itu.
“Pendekatan itu bertujuan menyokong penyampaian perkhidmatan asas yang penting, melindungi rakyat Afghanistan yang terdedah, membantu memelihara modal insan dan perkhidmatan utama ekonomi dan sosial.
“Ia juga diharapkan dapat mengurangkan keperluan untuk bantuan kemanusiaan pada masa depan,’’ kata bank itu dalam satu kenyataan.
Tahun lalu, Tabung Amanah Pembinaan Semula Afghanistan (ARTF) dibekukan apabila Taliban menawan Kabul selepas pasukan tentera antarabangsa terakhir berundur selepas 20 tahun berperang.
Sebaik sahaja kerajaan asing menamatkan bantuan kewangan yang menyumbang lebih 70 peratus daripada pembelanjaan kerajaan Afghanistan, Amerika Syarikat (AS) menerajui pembekuan kira-kira AS$9 bilion (RM37.73 bilion) aset bank pusat Afghanistan.
Pemotongan itu mempercepatkan kejatuhan ekonomi serta membawa kepada krisis kewangan dan kemanusiaan yang telah diberi amaran oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Situasi ekonomi yang merudum telah meletakkan lebih separuh daripada 39 juta penduduk Afghanistan berisiko mengalami kebuluran.
Menerusi satu kenyataan, Bank Dunia berkata bahawa penderma-penderma akan memutuskan sebagai langkah pertama mengenai empat projek bernilai kira-kira AS$600 juta (RM2.52 bilion).
Projek tersebut akan menangani keperluan mendesak dalam sektor pendidikan, kesihatan dan pertanian termasuk mata pencarian penduduk.
Tambah kenyataan itu, fokus utama projek berkenaan adalah untuk memastikan gadis dan wanita mengambil bahagian serta mendapat manfaat daripada sokongan.
Sejak Taliban berkuasa, kebanyakan kanak-kanak perempuan tidak dibenarkan bersekolah namun didakwa mereka semua akan dibenarkan kembali ke sekolah hujung bulan ini. – Agensi