PETALING JAYA – Penduduk di lapan negeri semenanjung dinasihatkan berwaspada ekoran amaran ribut petir serta hujan lebat dijangka berlaku pada pagi ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, amaran itu dikeluarkan di Kelantan melibatkan Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
“Di Terengganu pula membabitkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu serta Marang manakala di Negeri Sembilan termasuk Port Dickson dan Rembau.
“Selain itu, keadaan cuaca buruk turut dijangka berlaku di kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka serta Johor melibatkan Tangkak dan Muar,” ujarnya.
Sementara itu, amaran sama turut dikeluarkan di negeri Selangor yang dijangka tertumpu di sekitar Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Tambah MetMalaysia, keadaan cuaca buruk itu diramalkan berlaku sehingga pukul 10 pagi hari ini. – KOSMO! ONLINE