PUTRAJAYA – Sebanyak 231 kes atau 0.71 peratus daripada 32,467 kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan semalam melibatkan kategori tiga, empat dan lima.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam masa sama, sebanyak 32,236 kes pula atau 99.29 peratus daripada jangkitan harian semalam terdiri daripada kategori satu dan dua, dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 3,197,298 kes.
Menurutnya, mengikut pecahan, kategori satu sebanyak 10,828 kes (33.35 peratus), kategori dua sebanyak 21,408 kes (65.94 peratus), kategori tiga sebanyak 100 kes (0.31 peratus), kategori empat sebanyak 63 kes (0.19 peratus) dan kategori lima 68 kes (0.21 peratus).
“Daripada 231 kes kategori tiga, empat dan lima, 60 kes (25.98 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 115 kes (49.78 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 56 kes (24.24 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 127 kes (57.98 peratus) berumur 60 tahun dan kes, 74 kes (32.02 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (0.43 peratus) adalah ibu mengandung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 27,629 kes sembuh dilaporkan dengan jumlah kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 3,197,298 kes serta 355 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala, 208 kes memerlukan bantuan pernafasan. -KOSMO! ONLINE