KLANG – Sebanyak 20 rumah di Jalan Mohd. Yasmin, Telok Gadong di sini, dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena air pasang hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu menyebabkan paras air mencecah hampir satu meter memasuki kawasan rumah penduduk. Namun, tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dikerah dalam operasi berkenaan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.21 pagi.
“Pemeriksaan mendapati sebanyak 20 rumah terlibat dalam banjir kilat sedalam tiga kaki atau hampir satu meter itu.
“Situasi di lokasi bagaimanapun terkawal dan paras air dalam keadaan statik selain hujan sudah berhenti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norazam, pihaknya turut menjalankan pemantauan menyeluruh di sekitar kawasan perumahan itu.
“Tiada sebarang pemindahan mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” ujarnya.
Tambah beliau, bomba bagaimanapun sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan akan menjalankan pemantauan berterusan di lokasi tersebut. -KOSMO! ONLINE