KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu ‘lampu hijau’ bagi merakam keterangan saksi-saksi yang berada di luar negara bagi membantu siasatan suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr. Tawfiq Ayman berkenaan dakwaan menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, setakat ini pihak PDRM sudah mengenal pasti beberapa dokumen dan saksi-saksi yang terlibat di luar negara.
“Siasatan berkenaan dakwaan itu telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk semakan lanjut dan mereka juga sudah meminta PDRM agar mendapatkan dokumen dan saksi-saksi terlibat.
“Setakat ini kita masih menunggu maklum balas dan ‘lampu hijau’ dari negara berkenaan untuk merakam keterangan saksi-saksi dan mendapatkan dokumen yang diperlukan,” ujarnya pada sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, dekat sini hari ini.
Jelas beliau, pihaknya telah beberapa kali berhubung dengan negara terbabit, namun masih tiada maklum balas diterima.
“Perkara ini melibatkan keterangan saksi dan dokumen jadi kita tidak boleh sewenang-wenangnya pergi ke sana dan mendapatkan bantuan mereka,” jelasnya.
Terdahulu, Tawfiq menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa dan mendakwa tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.
Kenyataan itu hadir susulan keterangan diberikan Leissner yang merupakan bekas pengerusi syarikat perbankan, Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, semalam.
Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah melibatkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi – 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq. – KOSMO! ONLINE