IPOH – Perak tidak dapat membantu membekalkan air mentah ke Pulau Pinang kerana bekalan sedia ada perlu diutamakan kepada penduduk negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun sumber air mentah banyak di Perak tetapi penggunaan untuk rakyat negeri ini juga tidak mencukupi.
Menurut beliau, Perak misalnya memerlukan sumber air yang banyak bagi kegunaan pertanian dan industri selain pembekalan tenaga elektrik.
“Kajian yang dilakukan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menunjukkan air dalam negeri Perak tidak sepenuhnya mencukupi.
“Misalnya, jika air untuk pertanian di Kerian kering kita terpaksa menggunakan kaedah lain mendapat air seperti pembenihan awan, jadi kita kena utamakan negeri dulu,” katanya pada sidang akhbar Program Seronok ke Sekolah Tahun 2022 negeri Perak dan perasmian Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri Perak (Wanita Perak) di sini.
Mengulas lanjut kata Saarani, perkara sama juga pernah dibincangkan semasa pentadbiran lalu antara kedua-dua negeri. – KOSMO! ONLINE